Cuaca buruk, isu trafik punca projek tebatan banjir di Puchong ditangguhkan


  • Massa
  • Jumaat, 03 Jan 2025

Ahli MBSJ Zon 16, Lee Jen Uyin berkata, projek itu dijangka siap pada suku pertama 2025.

PROJEK tebatan banjir di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) berhampiran pusat beli-belah IOI Mall, Puchong, Selangor dilaporkan terpaksa ditangguh atas beberapa faktor.

Ahli Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Zon 16, Lee Jen Uyin berkata, projek tersebut terhalang akibat faktor perubahan cuaca dan isu trafik di kawasan berkenaan.

Hal berkenaan telah menggugat operasi kerja kontraktor sepanjang proses penebatan itu dijalankan.

BACA LAGI: Dua saluran tersumbat punca banjir Kampung Jalan Kebun

BACA LAGI: Makan brokoli dan kubis bantu turunkan tekanan darah

"Ia dianggarkan siap dalam suku pertama tahun ini," katanya.

Chew Ru Xuan yang merupakan setiausaha akhbar kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara, Ng Sze Han berkata, projek itu disasarkan siap 75 peratus pada Januari.

"Ng akan memaklumkan perkembangan terkini dalam pengumuman akan datang," katanya.

Dalam pada itu, projek berkenaan dibelenggu beberapa isu kelewatan yang sepatutnya selesai pada bulan lepas.

Kos sebanyak RM5.7 juta ditanggung oleh IOI Corporation Bhd, syarikat konsesi lebuh raya Litrak dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Projek itu sebelum ini dimulakan pada 5 November 2023, berikutan beberapa siri banjir kilat yang menyaksikan tempat letak kereta dan tingkat bawah pusat beli-belah tersebut ditenggelami air sedalam 0.3 meter.

Dilaporkan, pada 18 Mac tahun lepas bahawa projek itu yang pada mulanya dijadualkan siap bulan lalu, telah ditangguhkan hingga Oktober kerana penjajaran semula paip yang melalui bawah lebuh raya.

Pada 2 September lalu, diumumkan bahawa projek itu telah ditangguhkan sehingga Disember bagi membolehkan kerja-kerja penggalian jacking di bawah LDP disiapkan. — The Star/MEGAT SYAHAR

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram