SEORANG pemandu lori maut selepas tayar sebelah kanan kenderaan dipandunya itu pecah, menyebabkan dia hilang kawalan sebelum melanggar sebuah lori yang datang dari arah bertentangan di Jalan Titi Karangan-Baling dekat Kulim, Kedah pada Khamis.
Mangsa, Mohd Rosidan Omar, 38, dari Kampung Berapit, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Menurut Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan, polis menerima maklumat kemalangan membabitkan dua lori jenis Hino itu berlaku pada pukul 10.30 pagi ketika lori dipandu mangsa datang dari arah Desa Aman menghala ke Kulim.
BACA LAGI: [VIDEO] Pekerja sawit meraung lihat rakan maut dihempap serombong besi lebih 1 tan di Sumatera Utara
BACA LAGI: [VIDEO] Pemandu jengkaut maut kena hempap kren angkut mesin kuari di India
"Apabila lori dipandu mangsa sampai di Jalan Titi Karangan-Baling, tayar depan sebelah kanan lorinya pecah lalu hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan serta melanggar lori yang datang dari arah Kulim menghala ke Desa Aman.
"Kemalangan itu menyebabkan kedua-dua arah terhalang dan kesesakan kira-kira lima kilometer," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Seorang pemandu lori maut selepas tayar sebelah kanan kenderaan dipandunya itu pecah, menyebabkan dia hilang kawalan sebelum melanggar sebuah lori yang datang dari arah bertentangan di Jalan Titi Karangan-Baling dekat Kulim, Kedah pada Khamis. pic.twitter.com/2qgasViiRy
— Nadine Ardine (@MoMoT_Nadine) January 2, 2025
Zulkifli berkata, pemandu sebuah lagi lori berusia 41 tahun dihantar ke Hospital Kulim kerana cedera di badan dan tangan kanan.
"Hasil siasatan mendapati kemalangan berpunca daripada pemandu yang hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan yang menyebabkan perlanggaran dengan sebuah lagi lori.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
Terdahulu, tular satu video memaparkan kejadian kemalangan melibatkan dua jentera berat di Jalan Titi Karangan-Baling.
Melalui video yang dikongsikan perakam itu memaklumkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian ekoran daripada kecederaan parah di kepala. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram