PIHAK polis masih menunggu laporan toksilogi dan bedah siasat untuk menentukan punca kematian Yap Xin Yuan, 15.
Ketua Polis Daerah Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, laporan itu penting bagi mengenal pasti sama ada kematian mangsa berpunca daripada pergaduhan atau dikaitkan dengan penggunaan dadah.
"Kami memerlukan laporan toksikologi untuk memastikan sama ada mangsa mengambil dadah, jadi kami tidak dapat mengesahkan pada ketika ini jika dia meninggal dunia akibat terlebih dos atau tidak.
"Kami juga sedang menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian, tetapi keadaan mayat menyukarkan pakar patologi," katanya pada Jumaat.
BACA LAGI: Bapa Yap Xin Yuan sayu, tak dapat kenal wajah anak sebelum disemadikan
BACA LAGI: Ditemukan mati di sungai, polis sahkan mayat reput di Banting milik Yap Xin Yuan
Polis mengesahkan mayat yang dijumpai di Sungai Changgang adalah Yap Xin Yuan.
Beliau berkata, pihaknya percaya bahawa kematian mangsa melibatkan teman lelakinya yang berusia 16 tahun.
"Kami sedang menyiasat sama ada terdapat perselisihan faham antara kedua-duanya atau kematiannya ada kaitan dengan penggunaan dadah. Inilah sebabnya kami perlu menunggu keputusan makmal.
"Siasatan juga termasuk sama ada teman lelaki itu bertindak bersendirian dalam membuang mayat Yap atau mempunyai rakan sejenayah.
"Setakat ini, ketiga-tiga suspek yang ditahan termasuk teman lelakinya didapati negatif dadah," tambahnya.
Sebelum ini, mayat mangsa ditemui di di RTB Sungai Changgang (dalam keadaan reput), dan pengesahan fizikal tidak dapat dijalankan.
Bagaimanapun pengecaman dapat dibuat selepas ujian DNA dilakukan.
Tiga suspek berusia 16, 20 dan 51 tahun termasuk teman lelaki mangsa sudah ditahan dan direman sehingga 5 Januari depan.
Kes itu kini diklasifikasikan sebagai pembunuhan dengan motif pembunuhan masih lagi dalam siasatan.
Xin Yuan dilaporkan hilang pada 19 Disember selepas latihan tarian singa di gelanggang bola keranjang di Batu 11 Cheras, Selangor. — The Star/FARIK ZOLKEPLI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram