SEORANG pelawak terkenal di negara ini dijatuhkan hukuman penjara di Arab Saudi selepas didapati bersalah memiliki dadah.
Pelawak tersebut dijatuhkan hukuman penjara selama enam bulan oleh negara itu pada November selepas ditahan di Jeddah, Oktober lalu.
Akan tetapi menurut sumber, pelawak tersebut boleh dibebaskan lebih awal jika berkelakuan baik.
"Dia berpeluang untuk dibebaskan lebih awal kerana berkelakuan baik. Hukuman penjaranya itu dijangka akan berakhir pada April," kata sumber tersebut.
Sebelum ini, Kedutaan Malaysia di Arab Saudi mengesahkan penahanan seorang rakyat Malaysia di Jeddah kerana memiliki ganja, namun identitinya dirahsiakan.
Sejak dia ditahan, Kedutaan Malaysia serta Konsular Malaysia sudah memberikan bantuan. Akan tetapi, maklumat lanjut mengenai kes tersebut tidak dinyatakan secara terperinci kerana pelbagai faktor.
Dalam pada itu, Kementerian Luar pada Jumaat mengesahkan penahanan seorang rakyat Malaysia di Arab Saudi.
Memetik kenyataan Wisma Putra, kementerian itu memberi jaminan bahawa bantuan konsular telah diberikan kepada individu tersebut dan usaha berterusan dilakukan bagi memastikan perundangan tempatan melindungi haknya.
"Kementerian akan menyelaras rapat dengan pihak berkuasa berkaitan untuk menangani situasi itu dan komited untuk memberikan sokongan yang sewajarnya selain menegakkan prinsip kerahsiaan dan maruah untuk semua rakyat Malaysia di luar negara.
"Kami menggesa media supaya menghormati privasi individu dan keluarga mereka semasa masa sukar ini. Perkara sebegini sesuatu yang sensitif dan tidak boleh dianggap sebagai peluang untuk spekulasi atau gosip,” menurut kenyataan itu. — The Star/FARIK ZOLKEPLI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram