
SEORANG lelaki maut selepas terlibat dalam satu kemalangan ngeri di Jeram dekat Kuala Selangor, Selangor pada Selasa.
Kejadian itu juga berjaya dirakam kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan lain yang berada di tempat kejadian.
Berdasarkan video berdurasi seminit yang dikongsikan, mangsa yang menunggang motosikal dari arah bertentangan melambung ke udara selepas dirempuh kenderaan jenis Perodua Ativa.
BACA LAGI: [VIDEO] Pekerja sawit meraung lihat rakan maut dihempap serombong besi lebih 1 tan di Sumatera Utara
BACA LAGI: [VIDEO] Ingatkan kejadian di Sandakan, mayat wanita terkulai kena terkam buaya rupanya di Indonesia
Melalui maklumat awal yang dikongsikan mendakwa kereta Ativa tersebut dipandu dengan laju sebelum masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar mangsa.
Turut tular satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan helmet mangsa juga terpelanting ke halaman rumah penduduk ekoran daripada impak kuat rempuhan tersebut.
Sementara itu, seorang warga maya, Syahir Irfan Mustafa Kamal berkata, mangsa dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian ekoran daripada kecederaan parah di anggota badan.
"Penunggang motosikal itu sepupu saya, meninggal dunia di tempat kejadian. Semoga rohnya dicucuri rahmat, diterima amal soleh.
"Ditempatkan dalam golongan orang yang beriman. Perginya beliau ketika usai mencari rezeki untuk anak dan isteri. Al-Fatihah buat arwah Abang Zainal," tulisnya.
Syahir turut mengharapkan kematian Allahyarham mendapat pembelaan yang seadilnya memandangkan kemalangan tersebut disebabkan kecuaian pemandu lain.
"Arwah meninggalkan seorang balu dan dua anak. Semoga ada keadilan untuk arwah dan waris," katanya.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram