MAHKAMAH Majistret Sibu, Sarawak memutuskan seorang pemandu lori didenda RM4,000 selepas mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah terhadap penyanyi Nor Ashimah Ramli atau dikenali sebagai Baby Shima.
Memetik laporan Sinar Harian, Mel Maxpherson Munded, 32, dari Kampung Bratan, Jalan Borneo Heights, Kuching didakwa melakukan kesalahan mengugut untuk membunuhnya dengan niat mencemaskan penyanyi itu di lobi Hotel Kingwood pada 30 Disember lepas.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.
BACA LAGI: Terima ugutan bunuh di media sosial, Baby Shima buat laporan polis
Mel Maxpherson bagaimanapun memberitahu bahawa tindakan itu dilakukan tanpa sedar kerana sedang di bawah pengaruh alkohol ketika itu.
Tertuduh kemudiannya memohon hukuman ringan kerana dia telah berkahwin dan mempunyai seorang anak, selain perlu menjaga ibunya serta ia merupakan kesalahannya yang pertama.
Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Siti Mariyah Dahari bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran kepada pemandu lori itu dan orang ramai.
Terdahulu, Baby Shima menerima ugutan bunuh daripada seorang individu tidak dikenali di media sosial.
Ugutan tersebut dikongsikan artis yang nama sebenarnya Nor Ashima Ramli menerusi hantaran di akaun Instagram peribadinya berserta tangkap layar memaparkan komen difahamkan daripada seseorang dari Sarawak.
"Sekali lagi kau masuk ke Sarawak, musuh kau akan menyasarkan kau! Jangan kembali ke Semenanjung sebagai mayat! Jaga diri, Baby Shima," kata komen tersebut.
Susulan itu, penyanyi yang baru sahaja mengeluarkan lagu berjudul 'Bujang Sarawak' bertindak membuat laporan polis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram