[VIDEO] Warga emas terbabas rempuh pasar raya di Klang, mangsa belum buat repot polis


  • 112
  • Rabu, 01 Jan 2025

Tangkap layar memaparkan nahas di hadapan sebuah pasar raya di Taman Sentosa, Klang, Selangor, pada petang Ahad lalu.

SEORANG warga emas dipercayai terbabas sebelum melanggar sebuah premis perniagaan di Taman Sentosa, Klang, Selangor, pada petang Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian kira-kira pukul 4 petang itu melibatkan pemandu berusia 73 tahun yang memandu sendirian.

Menurutnya, kemalangan itu turut mengakibatkan kerosakan pada kereta dan motosikal yang diparkir di lokasi berkenaan.

BACA LAGI: [VIDEO] Bot berlanggar punca pergaduhan, polis siasat 2 individu 'bergusti' di jeti Semporna

BACA LAGI: Polis terima laporan penemuan baharu bangkai kucing, anjing di UM

"Pemandu tersebut bagaimanapun didapati tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ujar Hoong Fong, sehingga kini hanya warga emas berkenaan yang hadir membuat laporan kemalangan.

Jelas beliau, pihak pengurusan pasar raya berkenaan juga sudah dimaklumkan untuk hadir membuat laporan kemalangan.

“Bagaimanapun, mangsa (pejalan kaki) disyaki seorang wanita yang dipercayai terbabit dalam kemalangan itu masih belum hadir membuat laporan.

“Polis sedang mengesan mangsa berkenaan bagi menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

Mengulas lanjut, Hoong Fong berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu lelaki warga emas itu terbabas ketika melalui Jalan Dato Yusuf Shahbudin sebelum melanggar pasar raya tersebut.

“Bagaimanapun, warga emas itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.

Kejadian itu turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan dan mula dikongsikan di media sosial sejak Selasa.

Video tular itu turut memaparkan seorang wanita dalam keadaan terbaring dengan kesan darah pada lantai di lokasi kejadian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram