TikTok, WeChat platform pertama terima lesen penyedia media sosial, Google dan X belum hantar permohonan


  • Primer
  • Rabu, 01 Jan 2025

WeChat, TikTok dan Telegram layak beroperasi di Malaysia selepas mendapatkan lesen bagi membolehkan platform media sosial itu berbuat demikian.

EMPAT penyedia perkhidmatan media sosial dan pesanan internet telah memohon untuk mendapatkan lesen bagi beroperasi di Malaysia, kata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

MCMC berkata, Tencent, yang mengendalikan WeChat merupakan penyedia perkhidmatan pertama yang menerima Lesen Penyedia Perkhidmatan Aplikasi Kelas [ASP(C)].

"Selepas WeChat, ByteDance (TikTok) turut berjaya memperoleh lesen mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

BACA LAGI: [VIDEO] Pensyarah USM jadi kebanggaan 'kaki motor', hasilkan inovasi tayar kalis pancit, tidak bocor

BACA LAGI: Kemalangan jadi titik tolak budak JB ubah laluan hidup, kejayaan di UPM bawa nama ke Universiti Oxford

photo_6316675700526006571_x

Empat penyedia perkhidmatan media sosial dan pesanan telah memohon untuk mendapatkan lesen bagi beroperasi di Malaysia.

Tambahnya lagi, Telegram berada di peringkat akhir proses pelesenan dan akan menerima lesen mereka tidak lama lagi.

Selain itu, Meta, yang mengendalikan Facebook, Instagram dan WhatsApp telah memulakan proses pelesenan.

Manakala, X (dahulu dikenali sebagai Twitter) dan Google, yang mengendalikan YouTube belum menghantar permohonan kepada MCMC.

"Menurut X, jumlah penggunanya di Malaysia tidak mencapai nilai ambang lapan juta pengguna yang disyaratkan.

"Ketika ini, MCMC sedang giat menyemak kesahihan jumlah pengguna dan akan meneruskan sesi libat urus bagi menilai kedudukan X," kata MCMC.

Google pula membangkitkan beberapa perkara mengenai ciri-ciri perkongsian video YouTube dan klasifikasinya di bawah Kerangka Pelesenan.

Sehubungan itu, MCMC telah membincangkan isu-isu yang dibangkitkan dan akan memastikan YouTube serta semua penyedia platform yang relevan dimaklumkan dengan jelas mengenai tugas dan tanggungjawab mereka untuk mematuhi Kerangka Pelesenan yang kini sudah berkuat kuasa.

"MCMC akan menilai status penyedia platform yang masih belum memperoleh lesen yang dikehendaki dan akan mempertimbangkan tindakan yang wajar di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Penyedia platform yang didapati melanggar keperluan pelesenan boleh tertakluk kepada siasatan dan tindakan pengawalseliaan

"Keperluan pelesenan ini menekankan komitmen kerajaan untuk memperkukuh keselamatan dalam talian, mempertingkat perlindungan pengguna terutamanya untuk kanak-kanak dan golongan rentan.

"Pada masa yang sama, ia dapat menambah baik pengawasan kawal selia untuk Penyedia Perkhidmatan yang beroperasi di Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, MCMC memuji usaha Penyedia Perkhidmatan yang telah mengambil langkah proaktif ke arah pematuhan dan menekankan kepentingan untuk mematuhi keperluan pelesenan.

MCMC berkata, kesemua usaha berkenaan amat penting demi mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat untuk semua rakyat Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram