[VIDEO] Terlihat kenderaan nombor plat asing isi RON95, tekan saja butang kecemasan


  • Tular
  • Rabu, 01 Jan 2025

Tangkap layar seorang kakitangan stesen minyak berkongsi kepada umum mengenai fungsi butang kecemasan berkenaan yang boleh digunakan ketika berdepan dengan beberapa situasi termasuk kenderaan asing mengisi minyak subsidi seperti RON95.

RAMAI yang mungkin tidak menyedari kewujudan butang kecemasan yang terletak di stesen minyak, apatah lagi mengetahui fungsinya.

Walhal, butang kecemasan itu memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan pengguna, pekerja, dan kawasan sekitarnya sekiranya berlaku insiden tidak diingini.

Butang kecemasan di stesen minyak juga sebenarnya direka untuk memutuskan bekalan elektrik ke semua pam minyak, sekali gus menghentikan aliran bahan bakar secara serta-merta.

BACA LAGI: [VIDEO] Pekerja sawit meraung lihat rakan maut dihempap serombong besi lebih 1 tan di Sumatera Utara

BACA LAGI: [VIDEO] Ingatkan kejadian di Sandakan, mayat wanita terkulai kena terkam buaya rupanya di Indonesia

Tindakan tersebut sebenarnya bertujuan mengurangkan risiko kebakaran atau letupan yang boleh berlaku akibat tumpahan minyak atau percikan api.

Menerusi satu video tular yang dimuat naik oleh Petronas Sri Hartamas di TikTok, seorang kakitangannya berkongsi kepada umum mengenai fungsi butang kecemasan berkenaan yang boleh digunakan orang ramai ketika berdepan dengan beberapa situasi.

Menurut individu berkenaan, sekiranya berlaku kebakaran, tindakan pantas menekan butang kecemasan tersebut dapat menghentikan aliran minyak dan mengurangkan risiko letupan.

Selain itu, jika berlaku pertumpahan minyak atau jika muncung pam tidak berfungsi dengan baik, butang ini akan menghentikan aliran minyak serta-merta.

Lebih menarik lagi, sekiranya pelanggan melihat kenderaan dengan nombor plat asing mengisi minyak subsidi (seperti minyak RON95 yang diperuntukkan untuk warga tempatan), mereka boleh menekan butang kecemasan itu juga bagi mengelakkan warga asing membeli minyak bersubsidi.

Jelas pekerja tersebut lagi, butang kecemasan itu akan menghentikan semua aliran minyak daripada pam apabila ditekan.

Walaupun pelanggan cuba mengepam minyak, aliran minyak tidak akan keluar sehingga sistem dipulihkan semula oleh kakitangan stesen minyak tersebut.

Individu tersebut turut menasihatkan orang ramai untuk tidak teragak-agak menekan butang henti kecemasan sekiranya keadaan memerlukan.

Tindakan itu bukan sahaja dapat mengurangkan risiko kemalangan, tetapi juga memastikan keselamatan semua pihak di kawasan stesen minyak.

Kesedaran dan tindakan pantas dalam situasi kecemasan, menurutnya, boleh menyelamatkan nyawa serta mengelakkan insiden yang lebih serius. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram