
SEORANG pelajar sekolah menengah maut, manakala rakannya cedera selepas motosikal ditunggangi mereka dirempuh sebuah kenderaan di Jalan Persiaran Pekeliling, Bangi, Selangor pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kemalangan kira-kira pukul 4.59 petang itu menyebabkan mangsa berusia 16 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah pada anggota badan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta dipandu seorang wanita warga emas berusia 64 tahun dalam perjalanan menghala ke Seksyen 9, Bandar Baru Bangi.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Mungkin hentam divider', penunggang motor hilang kepala kemalangan di Highway Senai
BACA LAGI: Polis terima laporan penemuan baharu bangkai kucing, anjing di UM
“Kereta tersebut dipercayai sedang bergerak keluar dari sebuah simpang di Jalan Persiaran Pekeliling sebelum penunggang motosikal bersama pembonceng yang datang dari arah kanan melanggar kenderaan berkenaan.
“Akibat rempuhan itu, pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penunggang cedera di kaki.
"Pemandu kereta pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Naazron berkata, penunggang dan pembonceng motosikal yang kedua-duanya berusia 16 tahun merupakan pelajar di sebuah sekolah menengah di Bangi.
Ujarnya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh menghubungi balai polis berdekatan atau pegawai penyiasat kes, Inspektor Ahmad Zahrein Muhd Suoddi di talian 017-3818422 bagi membantu siasatan,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram