UNIVERSITI Malaya (UM) menafikan dakwaan seorang pensyarah yang digantung tugas atas tuduhan gangguan seksual telah kembali semula ke kampus.
Pusat Komunikasi Korporat UM dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan, tiada arahan dikeluarkan oleh mana-mana fakulti atau jabatan berkaitan untuk pensyarah berkenaan hadir di kampus.
Menurut siasatan pihak universiti, tiada bukti atau saksi yang mengesahkan bahawa pensyarah tersebut berada di kampus semasa tempoh penggantungannya.
BACA LAGI: KPT takkan kompromi, pensyarah UM didakwa hantar gambar tidak senonoh kepada beberapa pelajar
BACA LAGI: Pensyarah UM terpalit dakwaan hantar mesej jelik seksual ditahan kerja
“Pensyarah tersebut telah diingatkan untuk tidak hadir ke kampus sepanjang tempoh penggantungan yang dikenakan.
“UM juga memastikan bahawa universiti sentiasa mengutamakan keselamatan semua pihak di kampus, terutamanya pelajar,” menurut kenyataan itu.
Pada 23 Disember lalu, UM mengesahkan pensyarah terlibat dengan isu penghantaran mesej jelik seksual itu ditahan kerja mengikut Akta Badan-badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 [Akta 605].
Pada Disember lalu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengarahkan UM untuk menjalankan siasatan segera terhadap dua dakwaan gangguan seksual yang mencemarkan reputasi universiti terkemuka itu.
Zambry berkata, arahan itu juga dikeluarkan supaya universiti awam berkenaan tidak memandang ringan kes tersebut dan memastikan ia mendapat keadilan yang sewajarnya.
Beliau menambah, kementerian tidak akan bertolak ansur terhadap salah laku yang melanggar undang-undang negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
