[VIDEO] Sempat ucap 2 kalimah syahadah, pakai topeng oksigen penumpang kongsi detik-detik terakhir pesawat Azerbaijan Airlines terhempas


  • Benua
  • Khamis, 26 Dis 2024

Tangkap layar video mangsa ketika merakaman keadaan dalam pesawat sebelum terhempas.

SEKURANG-KURANGNYA 29 penumpang termasuk tiga kanak-kanak terselamat manakala 38 yang lain dikhuatiri maut apabila pesawat Azerbaijan Airlines yang membawa 67 penumpang terhempas di bandar Aktau, Kazakhstan pada Rabu (25 Disember).

Pesawat Embraer 190 yang dalam perjalanan dari Baku, Azerbaijan ke Grozny, Rusia itu turut membawa lima anak kapal.

Menurut laporan media, juruterbang pesawat telah meminta untuk melakukan pendaratan kecemasan di Aktau selepas destinasinya ditukar ke Grozny akibat kabus tebal.

BACA LAGI: Pakar rawat mata Anwar ketika dalam penjara meninggal dunia

BACA LAGI: [VIDEO] Kecoh Guardiola bukan jurulatih 'ubi muda', jangan tak percaya Malaysia juga ada Nafuzi Zain 'copy ori' Jurgen Klopp, lahirkan 13 bintang Liga Super

Media juga memaklumkan 67 penumpang di dalam pesawat itu terdiri daripada 37 rakyat Azerbaijan, enam warga Kazakhstan, tiga dari Kyrgyzstan dan 16 warga Rusia.

Menerusi video di media sosial, pesawat berkenaan dilihat menjunam dengan laju sebelum terbakar dan terhempas ke pantai, dengan asap hitam tebal berkepul-kepul di udara.

Malahan penumpang yang berlumuran darah dan cedera juga boleh dilihat terkapai-kapai dari bangkai pesawat.

Dalam video lain pula menunjukkan momen-momen sebelum berlakunya insiden tersebut selepas dirakam oleh seorang penumpang yang berada dalam pesawat berkenaan.

Penumpang tersebut merakamkan dirinya mengucap dua kalimah syahadah sambil menunjukkan keadaan dalam pesawat ketika menjunam.

Difahamkan individu itu selamat selepas dia merakamkan dirinya berjaya keluar daripada pesawat itu selepas terhempas.

Selain itu, ada juga penumpang yang dilihat memakai topeng oksigen kabin sebelum pesawat itu terhempas.

Menurut kenyataan Azerbaijan Airlines, punca awal nahas dikaitkan dengan perlanggaran pesawat dengan sekumpulan burung.

Namun, Kementerian Pengangkutan Kazakhstan memaklumkan bahawa insiden itu akan disiasat secara terperinci.

Pasukan penyiasat sedang meneliti punca kejadian dan tidak menolak sebarang kemungkinan, termasuk berlaku masalah teknikal.

Pendakwa Raya Kazakhstan yang bertanggungjawab bagi kes pengangkutan, Timur Suleymanov berkata, perakam data penerbangan pesawat itu sudah ditemui.

Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev mengisytiharkan hari ini sebagai hari perkabungan negara dan membatalkan lawatan yang dirancang ke Rusia untuk menghadiri sidang kemuncak tidak rasmi pemimpin Komanwel Negara Merdeka (CIS). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram