SEORANG pensyarah, pelajar Universiti Malaya (UM) dan aktivis hak haiwan merupakan antara tujuh individu disoal siasat setakat Khamis berhubung kematian kucing di universiti itu baru-baru ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, bangkai seekor kucing yang ditemui pada 21 Disember lalu diserahkan kepada polis oleh aktivis berkenaan dan telah dihantar ke makmal veterinar untuk pemeriksaan dan bedah siasat.
"Bedah siasat akan dijalankan pada Jumaat. Turut dihantar untuk pemeriksaan dan bedah siasat adalah bangkai seekor lagi kucing yang ditemui pada 25 Disember lalu di tempat letak kereta Fakulti Sains Sukan dan Senaman UM," katanya dalam satu kenyataan.
BACA LAGI: Pakar rawat mata Anwar ketika dalam penjara meninggal dunia
Kelab Kucing Malaysia sebelum ini menggesa siasatan menyeluruh kes itu dijalankan.
Presidennya, Khalid Rashid, dilaporkan berkata, walaupun Kelab Kucing Malaysia tidak mempersoalkan siasatan yang dijalankan pihak berkuasa, ia berharap kes itu akan diperiksa semula dengan bantuan pakar.
Pada 22 Disember lalu, polis mendedahkan bahawa rakaman televisyen litar tertutup menunjukkan anjing liar menyerang kucing tersebut menjadi punca kepada kematian haiwan tersebut.
Polis berkata perkara itu dirujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar, yang mengesahkan bahawa kecederaan yang dialami oleh kucing itu konsisten dengan serangan anjing liar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram