Jabatan Penjara beri kerjasama polis siasat kematian tahanan akibat pendarahan dalam kepala


  • 112
  • Selasa, 31 Dis 2024

Tahanan tersebut dilaporkan meninggal dunia ketika berada dalam tahanan di Penjara Pengkalan Chepa.

JABATAN Penjara akan memberikan kerjasama kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung siasatan kes seorang tahanan lelaki meninggal dunia didakwa cedera ketika dalam tahanan di Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan.

Jabatan Penjara menerusi satu kenyataan memaklumkan, satu laporan polis dibuat oleh keluarga tahanan berkaitan punca kematiannya pada 16 Disember lalu.

Katanya, lelaki itu meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Kota Bharu, Kelantan akibat pendarahan dalaman di kepala.

BACA LAGI: Permohonan tahanan rumah banduan termasuk Najib mesti lalui Lembaga Pengampunan — AGC

BACA LAGI: Rayuan tahanan rumah Najib didengar Januari 2025

472262398_1029216799241662_988556691392917046_n

Kenyataan dikeluarkan berhubung kematian prospek dalam tahanan.

“Prospek adalah tahanan reman berusia 32 tahun dan diterima masuk ke Penjara Pengkalan Chepa atas kesalahan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan tiada masalah kesihatan di kesan.

“Satu laporan polis kemudian dibuat berkaitan kes kematian tahanan itu oleh pegawai penjara bertugas,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan, laporan perubatan dan siasatan mengesahkan punca kematian lelaki itu.

Katanya, pihak keluarga prospek juga berpuas hati dengan keterangan diberikan, seterusnya jenazah diserahkan kepada waris untuk dikebumikan.

Justeru, Jabatan Penjara memohon kerjasama orang awam supaya tidak menyebarkan berita tidak sahih berkaitan kes berkenaan.

IMG_3660-scaled

Tahanan itu disahkan meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Terdahulu, media melaporkan, tahanan lelaki meninggal dunia selepas cedera didakwa ketika ditahan di Penjara Pengkalan Chepa.

Kakaknya, Zealeha Mohamed Nor, 45, dilaporkan mendakwa adiknya yang berusia 32 tahun cedera di kepala, lebam mata kiri dan kedua-dua lengan, luka bibir, patah gigi hadapan serta mempunyai kesan seperti dirotan dan dicucuh rokok di belakang badan.

Pada 11 Disember, Zealeha menerima panggilan daripada pihak penjara memaklumkan adiknya tidak sedarkan diri dan dibawa ke HRPZII sebelum ditidurkan.

Menurutnya lagi, mereka sekeluarga bergegas ke hospital pada pukul 2.27 pagi, 12 Disember dan adiknya meninggal dunia di sisinya serta ibu, malah doktor memberitahu kematiannya disebabkan pendarahan otak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram