Rayuan tahanan rumah Najib didengar Januari 2025


Najib memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman pada 1 April lalu.

SEMUA pihak berkaitan diminta tidak membuat kenyataan subjudis berkaitan rayuan difailkan Datuk Seri Najib Razak berhubung perintah tambahan diraja yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara dalam tahanan rumah.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata, Mahkamah Rayuan telah menetapkan 6 Januari 2025, untuk mendengar rayuan Najib.

Najib membuat rayuan terhadap penolakan Mahkamah Tinggi berkenaan permohonannya untuk kebenaran memulakan semakan kehakiman dan notis usul bagi mengemukakan kenyataan tambahan mengenai perintah tambahan diraja.

BACA LAGI: Najib antara 11 individu bakal dipanggil sebagai saksi perbicaraan kes 1MDB — Muhammad Shafee

BACA LAGI: Kes 1MDB: Najib diarah bela diri 25 pertuduhan penyelewengan

“Justeru, semua pihak diminta menghormati prosiding mahkamah dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang bersifat subjudis kerana rayuan dan notis usul belum diputuskan oleh mahkamah,” kata AGC.

Pada 3 Julai lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman atas alasan afidavit yang menyokong permohonannya 'semata-mata khabar angin'.

Najib memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman pada 1 April lalu.

Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Pesuruhjaya Negara Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi), Ketua Pengarah Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri dan kerajaan sebagai responden pertama hingga ketujuh masing-masing.

Dalam notis permohonan itu, Najib memohon perintah mandamus supaya kesemua responden atau salah seorang daripada mereka menjawab dan mengesahkan kewujudan perintah tambahan bertarikh 29 Januari 2024.

Najib memohon perintah mandamus yang mana jika perintah tambahan itu wujud, semua atau satu daripada responden mesti melaksanakan perintah diraja dan segera memindahkannya dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur, lokasinya akan menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah. — The Star /NURBAITI HAMDAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram