PENGASAS platform e-dagang, FashionValet, Datin Vivy Sofinas Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar mendapat kebenaran oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk membawa pulang pasport antarabangsa mereka buat sementara waktu.
Ia bagi membolehkan mereka menunaikan ibadah umrah pada 5 Januari 2025.
Permohonan pasport dibenarkan bermula pada Selasa dan perlu dikembalikan kepada mahkamah pada 15 Januari 2025.
BACA LAGI: Serik kongsi kisah hidup, Vivy Yusof umum akaun Instagram kini 'private'
Pasangan itu didakwa memindahkan RM8 juta daripada akaun bank syarikat kepada syarikat 30 Maple Sdn Bhd tanpa kelulusan Lembaga Pengarahnya.
Hakim Rosli Ahmad membenarkan pasport diserahkan kepada mereka menerusi peguamnya selepas tiada bantahan daripada pihak pendakwaan terhadap permohonan itu.
Dalam prosiding itu, peguam Ashok Athimulan yang mewakili pasangan itu berkata, mereka merancang untuk berlepas ke Arab Saudi pada 5 Januari dan dijangka pulang ke Malaysia pada 14 Januari 2025.
"Ketiadaan pasport mereka akan menyukarkan proses tempahan tiket perjalanan dan saya percaya pihak pendakwaan sebagai responden tidak ada bantahan terhadap permohonan ini.
"Anak guam saya akan memulangkan pasport ke mahkamah sehari selepas mereka pulang," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mengesahkan bahawa tiada bantahan dibuat berhubung perkara tersebut.
Beliau turut mencadangkan agar pasport itu dikembalikan sebelum sebutan semula kes yang ditetapkan pada 22 Januari 2025.
"Bagaimanapun, perkara ini saya serahkan kepada budi bicara mahkamah.
"Untuk rekod, pihak pendakwaan ingin tahu sama ada rancangan menunaikan umrah dibuat sebelum atau selepas pertuduhan difailkan," soalnya.
Fadzarudin kemudiannya menjawab bahawa rancangan itu dibuat selepas pertuduhan dikemukakan terhadap mereka.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Hakim Rosli Ahmad membenarkan permohonan itu dan mengarahkan dokumen itu dikembalikan ke mahkamah pada 15 Januari.
Mengikut pertuduhan, pasangan yang bertindak sebagai ejen bersama dan pengarah FashionValet Sdn Bhd diamanahkan dengan dana pelaburan daripada Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) bernilai RM8.
Mereka didakwa melakukan jenayah pecah amanah dengan memindahkan RM8 juta daripada akaun bank syarikat kepada syarikat 30 Maple Sdn Bhd tanpa kelulusan Lembaga Pengarahnya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, cawangan Bukit Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada 21 Ogos 2018.
Pertuduhan difailkan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua dan 20 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram