'Anak saya baru masuk universiti', peniaga OKU di Jalan Alor rayu DBKL berikan lesen lepas 4 kali kena pindah


  • Massa
  • Sabtu, 07 Dis 2024

Boon Hee (memakai baju-T berwarna biru tua) di kiosknya di hadapan gerai durian selepas dinasihatkan persatuan untuk terus berniaga di situ.

SEORANG peniaga kraftangan yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) merayu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memberikan lesen dagangan kepadanya selepas ruang lot perniagaan miliknya diambil alih sebanyak empat kali.

Daniel Ng Boon Hee berkata, dia mengusahakan gerai kraftangan di Jalan Alor di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, selama lebih 20 tahun.

Lelaki berusia 60 tahun itu berkata, dia diklasifikasikan sebagai OKU susulan insiden polio yang dihadapinya semasa zaman kanak-kanak menyebabkan kakinya membesar secara tidak normal dan kekal lebih kecil daripada biasa.

BACA LAGI: Kekal relevan bersama Barbarik, Mus May ‘tapau’ industri rock lebih 3 dekad bergelar rockers

BACA LAGI: 'This is ours Malaysia', pelakon Siti Saleha ranggul anugerah Bintang Asia Terbaik di Seoul

Boon Hee juga sedang bertarung dengan kanser tahap 1 dan baru-baru ini menjalani pembedahan buah pinggang, yang memaksanya berehat dari bekerja.

Bagaimanapun, apabila dia mahu menyambung kerja pada 21 September lalu, Boon He mendapati tempatnya sudah diambil alih oleh peniaga durian.

Pengusaha gerai durian itu mendakwa mempunyai perjanjian penyewaan dengan kedai serbaneka berhampiran.

StarMetro dimaklumkan bahawa perjanjian itu telah ditamatkan, kerana ia memerlukan gerai terbabit terletak lebih dekat dengan kedai serbaneka.

Namun, penjual durian meneruskan operasinya sehingga menyebabkan Boon Hee kehilangan tempat berniaga.

“Walaupun saya sudah cuba memohon banyak kali, DBKL maklumkan beberapa tahun lalu bahawa saya tidak memerlukan lesen.

“Tetapi peniaga lain telah berulang kali mengambil alih bahagian saya setiap kali saya tiada. Ini telah berlaku empat kali sejak 2014.

“Anak saya baru masuk universiti dan perbelanjaannya membebankan, jadi saya perlu meneruskan perniagaan untuk mencari rezeki,” kata Boon Hee yang merupakan pencari nafkah tunggal keluarganya dan berulang-alik setiap hari dari Sungai Buloh ke Jalan Alor.

Beliau merayu kepada DBKL memberinya lesen bagi memastikan dia mempunyai dokumentasi yang betul untuk menunjukkan kepada peniaga lain.

Boon Hee berkata demikian semasa sidang media anjuran Persatuan Peniaga dan Penjaja Jalan Alor.

Setiausaha persatuan, Simon Ang berkata, gerai peniaga durian itu juga telah menceroboh garisan kuning pudar yang menandakan lot peniaga di sepanjang jalan.

"Kami telah mengetengahkan perkara itu kepada Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun yang membangkitkan isu itu dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur pada 17 Oktober lalu.

“Sudah beberapa minggu perjanjian penyewaan ditamatkan, namun gerai durian masih beroperasi di tapak.

"Tiada tindakan diambil oleh DBKL walaupun banyak aduan dibuat," kata Simon.

Simon menggesa DBKL memberi lesen kepada peniaga seperti Boon Hee bagi mengelakkan pertikaian lanjut sambil mengesyorkan garisan kuning pudar menandakan lot itu dicat semula untuk memberikan persempadanan yang jelas.

Beliau berkata, peniaga durian terbabit telah memberi sedikit ruang kepada Ng untuk membina kiosknya.

"Kui Lun berkata dia bertemu dengan Datuk Bandar dan dia berjanji untuk memberi peniaga itu lesen perniagaan, tetapi ia masih belum diberikan," tambah Simon

Ketika laporan ini ditulis, DBKL masih tidak menjawab permintaan StarMetro untuk mendapatkan komen. — The Star/MEGAT SYAHAR

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram