"SAYA mulanya ingatkan peraduan ini 'scam' atau apa-apa, sekali tak sangka betul rupanya."
Itulah luahan gembira Zul Azmani Muhammad, 43, selepas memenangi hadiah tempat ketiga iaitu penginapan selama tiga hari, dua malam (3H2M) di sebuah hotel butik di Melaka.
Merupakan salah seorang pembaca tegar Majoriti, Zul Azmani pada awalnya tidak menyangka namanya tersenarai sebagai pemenang walaupun ia bukanlah hadiah utama.
BACA LAGI: Menangi percutian ke Langkawi sempena ulang tahun Majoriti
Ini kerana banyak jenis peraduan pada masa kini tidak menjanjikan habuan seperti yang ditawarkan, malah ada yang memerlukan pemenang membuat bayaran tertentu untuk mendapatkan hadiah.
"Saya tengok peraduan ini dari laman web Majoriti sebab selalu baca-baca berita yang diterbitkan oleh portal berkenaan.
"Selepas itu saya ada ternampak ada peraduan sempena ulang tahun Majoriti, saya tengok soalan-soalannya dan mencuba nasib untuk sertainya.
"Bagi saya portal berita Majoriti banyak info yang berlainan dan terkini, dan alhamdulillah menerusi peraduan ini, saya berpeluang memenangi hadiah utama," katanya kepada Majoriti.
Zul Azmani ketika diinterviu oleh wartawan Majoriti.
Zul yang bekerja di sebuah syarikat swasta dan bapa kepada tujuh orang anak itu meluahkan rasa syukur selepas mampu membawa keluarga bercuti di Melaka.
"Alhamdulillah, saya tak sangka. Dapat tengok tempat (hotel) macam ini memang tidak sangka.
"Dapat baucar percutian ini, saya boleh bawa keluarga berjalan-jalan dan meluangkan waktu bersama-sama lagi-lagi pada hujung tahun sebegini," jelasnya.
Terdahulu, orang ramai berpeluang memenangi hadiah utama berupa penginapan 3H2M di Casa Del Mar, Langkawi sempena peraduan ulang tahun Majoriti.
Hadiah kedua dan ketiga juga tidak kurang menarik, dengan penginapan 3H2M di sebuah resort mewah di Pulau Tioman dan penginapan 3H2M di sebuah hotel butik di Melaka.
Selain itu, jam tangan Braun Buffel, beg galas American Tourister, wangian mewah seperti Carolina Herrera, Paco Rabanne, Nina Ricci serta jongkong emas turut tersedia buat pemenang bertuah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram