Bergelut masalah bau badan, bibir kering dorong pengasas produk Hygr buka bisnes penjagaan kulit mesra alam


  • Bizz
  • Sabtu, 28 Dis 2024

Ivor Lim (kiri) dan Chew Hoi Meng (kanan) merupakan pengasas produk penjagaan diri mesra alam, Hygr.

PENGASAS jenama penjagaan diri semula jadi Hygr, Ivor Lim dan Chew Hoi Meng memulakan perniagaan mereka selepas mendapat inspirasi daripada masalah penjagaan diri yang dialami yang kemudiannya mendorong untuk mencipta idea penyelesaian.

Difahamkan Hoi Meng menghadapi masalah bau badan manakala Lim mengalami masalah bibir kering.

Tambahan pula, kedua-dua mereka yang merupakan graduan undang-undang berdepan kesukaran mencari pekerjaan sebagai peguam di firma guaman ekoran pandemik sekali gus mendorong memulakan idea bisnes itu.

BACA LAGI: [VIDEO] Melawan hukum alam berniaga Nasi Lemak Kangkung RM2 'portion' menimbun, Zila pernah kena 'sapu' PBT tapi kini sudah miliki kedai sendiri

BACA LAGI: 'Peribadi rendah diri Sultan Ibrahim buat kami tenang', pemilik generasi ke-3 restoran asam pedas Lee besar hati kerabat diraja jadi pelanggan setia

Hygr was established to address common issues such as body odour and dry lips.

Masalah penjagaan diri yang dialami mendorong Ivor dan Hoi Meng untuk mencipta deodoran dan pelembap bibir.

Mereka kemudian memutuskan untuk mencipta produk deodoran dan pelembap bibir yang dapat membantu orang ramai berdepan masalah penjagaan badan yang serupa.

“Selepas beberapa bulan menjalani penyelidikan dan ujian pembangunan, kami berjaya menghasilkan produk penyelesaian yang berkesan untuk kami.

“Walaupun dengan sumber yang terhad dan pembungkusan yang kurang menarik, kami mula menjual secara dalam talian dengan modal yang minimum.

"Kami menamakan jenama Hygr yang diinspirasikan daripada perkataan 'hygiene' dengan sentuhan tersendiri,” kata Hoi Meng.

Sejak itu, perniagaan mereka berkembang pesat, bermula dengan hanya dua pengasas dan kini memiliki lebih 30 pekerja dalam jabatan pengeluaran, operasi dan pemasaran.

Produk jenama Hygr semakin berkembang yang menawarkan pilihan seperti pelembap bibir berwarna dan deodoran kepada pelbagai produk penjagaan peribadi lain termasuk pelindung matahari, skrub bibir serta minyak rambut dan muka.

2024-12-27 19.59.41

Produk pelembap bibir berasaskan bahan semula jadi.

Menurut pengasas Hygr, syarikat itu berpindah ke kilang seluas 10,000 kaki persegi milik sendiri di Shah Alam pada Mac lalu.

"Momen yang paling membanggakan bagi kami adalah ketika kami berpindah ke kilang yang lebih besar.

"Keluarga kami yang pada mulanya tidak bersetuju dengan keputusan kami untuk meninggalkan kerjaya undang-undang dan memulakan perniagaan akhirnya datang dari Pulau Pinang untuk menghadiri majlis perasmian," kongsi Ivor Lim.

Selain jualan dalam talian, produk Hygr kini juga boleh didapati di pasaran seperti Watsons.

“Rasa amat berbaloi apabila melihat produk kami di rak Watsons bersebelahan dengan jenama antarabangsa,” tambahnya.

Dalam pasaran penjagaan peribadi dan kecantikan yang sangat kompetitif, Hygr menonjol dengan memahami pelanggan mereka dengan baik dan meletakkan keberkesanan produk sebagai keutamaan.

“Keberkesanan produk lebih penting daripada pemasaran.

“Walaupun pembungkusan yang menarik dapat mencuri perhatian, tetapi untuk mengekalkan pelanggan, produk harus dapat menyelesaikan masalah penjagaan diri mereka dan meningkatkan keyakinan mereka," kata Hoi Meng.

3079734

Produk-produk Hygr dihasilkan dengan teliti berdasarkan maklum balas daripada pelanggan.

Pengasas jenama Hygr itu menjelaskan produk-produk dihasilkan dengan teliti berdasarkan maklum balas daripada pelanggan.

Produk penjagaan kulit dan bibir itu difahamkan menggunakan bahan-bahan yang berasal dari alam semula jadi serta direka dengan pembungkusan yang boleh dikompos, dikitar semula dan boleh diisi semula.

“Pasaran sasaran kami adalah antara 18 hingga 40 tahun dan fokus kepada individu yang peduli dengan bahan-bahan semula jadi dan pembungkusan lestari serta menyokong jenama tempatan," Hoi Meng.

Dengan perniagaan yang beroperasi dari kilang pengeluaran yang mendapat sijil Amalan Pengilangan Baik (GMP), Hoi Meng berpendapat bahawa pasukan mereka dapat memperhalusi dan meningkatkan formula mereka dengan lebih cepat berbanding pesaing yang lebih besar.

“Kami membandingkan produk kami dengan jenama antarabangsa untuk menunjukkan bahawa produk buatan tempatan juga boleh bersinar,” tambahnya.

Salah satu aspek yang sangat unik mengenai jenama itu adalah kecekapan mereka dalam media sosial dan kehadiran digital yang kuat berasaskan kandungan.

Menggunakan platform seperti TikTok, Hygr berhubung dengan pengguna melalui video pendek yang menghiburkan sering memaparkan pasukan mereka bekerja, membangunkan reka bentuk produk baru, melaksanakan kempen pemasaran yang unik dan berinteraksi dengan pelanggan di pasaran.

Hoi Meng menggambarkan strategi jenama mereka sebagai 'kasar, organik, autentik dan kreatif'.

“Kami menunjukkan proses di sebalik tabir penciptaan produk dan membenarkan penonton mengikuti perjalanan kami dalam membangunkan perniagaan ini," jelasnya.

Pada awal penubuhan, jenama itu mula menggunakan pasaran dalam talian seperti Shopee, Instagram dan Facebook untuk membina kehadiran mereka dengan memberi tumpuan kepada kandungan jenis 'hard-sell'.

Menurut Ivor Lim, pendekatan itu memberi kejayaan yang terhad.

“Apabila kami mula membuat video yang lebih organik, kami mula mendapat perhatian yang lebih besar.

“Orang mula memberi perhatian kepada kami kerana jenama lain tidak melakukannya.

“Kami sedar bahawa video yang realistik dan mudah berinteraksi dengan pelanggan membantu kami mendekati mereka dan membina komuniti kami.

"Dari situ, pasukan kami mula memberi tumpuan lebih kepada kuantiti dan kualiti kandungan.

“Sebagai sebuah syarikat permulaan, kami perlu memastikan setiap sen diambil kira, jadi kami memberi fokus pada saluran yang paling berkesan dan berkembang mengikut keperluan,” tambah Ivor Lim.

Namun, merangka strategi media sosial yang berjaya adalah lebih kepada seni daripada sains dan tidak ada teknik yang serupa untuk semua perniagaan.

“Apa yang berkesan untuk orang lain mungkin tidak berkesan untuk anda dan apa yang tidak berkesan untuk orang lain mungkin berkesan untuk anda,” kata Hoi Meng.

“Kami pada mulanya diperlekehkan kerana membuat kandungan di TikTok kerana pada masa itu TikTok lebih terkenal dengan video tarian.

“Orang mempersoalkan bagaimana video TikTok boleh diaplikasikan kepada jualan tetapi kami terus berusaha dan ia membuahkan hasil,” katanya.

Ditanya mengenai rancangan seterusnya untuk produk tersebut menjelang 2025, pengasas Hygr mengungkapkan mereka berhasrat untuk mengembangkan perniagaan ke luar negara.

“Matlamat kami adalah untuk produk Hygr menjadi sebahagian penting daripada rutin penjagaan kulit dan peribadi harian semua orang dengan pembungkusan lestari untuk kehidupan yang lebih lestari,” kata Hoi Meng. — The Star/NICOLE CHEW

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram