'Anak saya takkan kembali,' ibu mangsa kena hempap kontena mahu tuntut keadilan


  • Massa
  • Sabtu, 16 Nov 2024

Sheau Ling mahu pihak bertanggungjawab dalam nahas itu dikenakan tindakan.

IBU pemandu wanita yang maut akibat kereta dihempap kontena di Jalan Bukit Tengah dekat Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada Rabu lalu, mahu pihak bertanggungjawab dalam nahas itu dikenakan tindakan tegas sebagai memberi keadilan buat mangsa.

Menurut Lim Sheau Ling, 42, dia berharap tindakan undang-undang mampu mengelakkan nahas yang terjadi ke atas anaknya, Lee Zi Rou, 21, menimpa pengguna jalan raya lain.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Sempat call ibu', wanita maut kena hempap kontena di Bukit Mertajam sempat buat panggilan terakhir ketika bertarung nyawa tersepit

BACA LAGI: [VIDEO] Wanita maut dihempap kontena lebih muatan di George Town, pemandu treler negatif dadah dan alkohol

12

Zi Rou yang memandu kereta Perodua Bezza, maut di lokasi kejadian selepas tersepit dalam kemalangan.

"Anak saya tidak akan kembali, jadi saya mahu satu keadilan untuknya dan tidak mahu orang lain pula kena.

"Anak saya tidak ada salah, dia anak yang baik, rajin dan selalu membantu keluarga.

"Malah sejak di bangku sekolah, mendiang yang merupakan anak kedua daripada empat beradik itu sering bekerja sambilan mencari duit bagi membantu saya dan adik-adiknya," katanya pada Sabtu.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam menziarahi keluarga mendiang bagi menyampaikan bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Insiden pada kira-kira 9.30 pagi itu menyaksikan Zi Rou, yang dalam perjalanan ke tempat kerja di Seberang Jaya memandu kereta Perodua Bezza, maut di lokasi kejadian selepas tersepit dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan.

Susulan kemalangan maut itu, pemandu treler berusia 51 tahun direman empat hari bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris sebelum ini berkata, pemandu itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu, yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, denda sehingga RM50,000 dan hilang kelayakan lesen memandu antara 10 dan 20 tahun. — The Star/ARNOLD LOH

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram