SEORANG kanak-kanak lelaki cedera parah selepas sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) merempuh lima premis di sebuah pusat beli-belah di West Houston dekat Texas, Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu lalu.
Insiden yang berlaku sekitar pukul 12:15 tengah hari pada 14 Disember lalu itu turut mencederakan beberapa orang awam yang lain sekali gus menyebabkan kerosakan besar di lokasi kejadian, termasuk sebuah kedai gunting rambut, pusat urut, kedai pakaian, dan sebuah kedai senjata.
Kejadian itu turut menjadi bualan dalam kalangan media maya di laman media sosial selepas salah satu rakaman video kejadian tular di laman X pada Sabtu.
BACA LAGI : [VIDEO] Pekerja sawit meraung lihat rakan maut dihempap serombong besi lebih 1 tan di Sumatera Utara
Melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dalam kedai gunting rambut 32 Degrees Barbershop di Westheimer berhampiran Highway 6 menunjukkan kenderaan SUV jenis Porsche Macan berkenaan merempuh dinding sisi premis tersebut.
Kenderaan itu dilihat melanggar beberapa pelanggan di kedai gunting tersebut termasuk kanak-kanak berkenaan sehingga menyebabkan mangsa terpelanting ke dalam sebuah pusat urut yang terletak bersebelahan.
Menurut pemilik pusat beli-belah, Joseph Rothchild, SUV itu mula merempuh dari bahagian hadapan sebuah gereja sebelum melanggar empat dinding dalaman premis bangunan itu sebelum berhenti di dalam kedai senjata.
"Sebelum kejadian, saya sempat bercakap dengan pemandu tersebut.
"Dia baru sahaja selesai menjalani rawatan dialisis di premis berhampiran sebelum kemalangan.
"Pemandu hanya ingat sedang mengundur dan kemudian bergerak ke hadapan, tetapi tidak sedar apa yang berlaku selepas itu," kata Rothchild.
Rakaman video turut menunjukkan suasana panik di dalam kedai gunting rambut ketika kejadian.
Seorang lelaki yang sedang mengecat tingkap kedai tersebut sempat memberi amaran kepada pemilik kedai, Darrick Brown, dan pelanggan sebelum SUV itu merempuh dinding premis mereka.
Sementara itu, polis tempatan dalam satu kenyataan memaklumkan kanak-kanak lelaki itu mengalami pendarahan dalaman, manakala seorang wanita yang berada di dalam kedai pakaian turut dilaporkan cedera dan dihantar ke hospital.
Beberapa mangsa lain mengalami kecederaan ringan, namun tiada kematian dilaporkan.
Kerja-kerja pembaikan kecemasan sedang dijalankan di premis-premis yang terjejas, dan kelima-lima perniagaan telah kembali beroperasi pada Ahad. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram