[VIDEO] Percutian bertukar tragedi, pelajar menjerit ketakutan lihat rakan sendiri maut dibawa ombak selepas ambil gambar di Lombok


  • Benua
  • Sabtu, 21 Dis 2024

Merlin maut dihanyut ombak besar selepas bergambar di tebingan batu dekat Pantai Semeti, Lombok pada Jumaat. — Agensi

KERIANGAN sekumpulan pelajar yang ingin mengabadikan kenangan indah di Pantai Semeti dekat Lombok, Indonesia bertukar menjadi tragedi memilukan apabila salah seorang daripada mereka maut dihanyut ombak besar.

Memetik laporan berita antarabangsa, mangsa Merlin Septiana, bersama tujuh rakan lain pada mulanya berkunjung ke pantai tersebut pada Jumaat sebagai ganjaran selepas tamat ujian semester.

Sebelum kejadian, Merlin juga sempat berjumpa dan meminta izin kepada ibu bapanya untuk pergi ke pantai tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] Pekerja sawit meraung lihat rakan maut dihempap serombong besi lebih 1 tan di Sumatera Utara

BACA LAGi: [VIDEO] Ingatkan kejadian di Sandakan, mayat wanita terkulai kena terkam buaya rupanya di Indonesia

Namun, apa yang sepatutnya menjadi momen kegembiraan bertukar suram apabila Merlin, yang sedang bergambar di atas tebing, tiba-tiba dihanyutkan ombak besar yang melanda kawasan itu.

Rakan-rakannya hanya mampu melihat dengan penuh panik ketika mangsa dihanyutkan ombak laut.

Menurut Ketua Polis Praya Barat, Punia Asmara, ketika kejadian mangsa dan bersama rakannya yang lain hanya ingin mengambil gambar di tebing pantai berbatu yang curam itu.

"Mereka sekadar mahu bergambar dan menikmati pemandangan, tetapi siapa sangka ombak besar itu datang tanpa amaran.

"Usaha menyelamatkan mangsa menggunakan peralatan seadanya seperti kayu juga gagal kerana kekuatan ombak yang luar biasa.

"Penduduk setempat dan pihak berkuasa kemudian dipanggil untuk membantu pencarian mangsa," katanya.

Jelas beliau lagi, mayat Merlin berjaya ditemukan beberapa jam selepas kejadian.

"Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke hospital terdekat sebelum diserahkan kepada pihak keluarga," ujarnya.

Kejadian tragis tersebut menjadi peringatan kepada pengunjung agar sentiasa berhati-hati, terutama di kawasan pantai dengan risiko tinggi seperti tebing berbatu dan ombak besar.

"Keselamatan harus diutamakan. Jangan dekati kawasan berbahaya, terutama ketika keadaan laut tidak menentu

"Pantai Semeti, walaupun terkenal dengan keindahannya, menyimpan ancaman tersembunyi yang boleh bertukar menjadi malapetaka jika pengunjung tidak berhati-hati," tegas Punia Asmara.

Terdahulu, tular satu video pada Sabtu orang awam menjerit dan cuba menyelamatkan Merlin di kawasan tebing berbatu selepas mangsa dihanyutkan ombak deras. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram