KASIH figura bernama bapa sememangnya tiada tandingan. Sama seperti kisah yang dikongsikan seorang wanita berasal dari Indonesia, Cassandra Sinaga baru-baru ini.
Ketabahan bapanya menjual pelbagai jenis beg di jalanan demi membiayai pengajian anak-anak, tanpa mengenal erti malu dan penat telah meruntun jiwa bukan sahaja rakyat Indonesia, malah masyarakat di Malaysia.
Menceritakan kisah itu menerusi aplikasi TikTok miliknya, @inicassandraa pada 17 Disember lalu, Cassandra yang baru menamatkan pengajian di Universiti Palangka Raya di Kalimantan Tengah mengabadikan momen berharga itu dengan berkongsi tentang perjuangan bapanya.
Wanita yang mesra disapa Sandra itu berkata, di sebalik sambutan majlis konvokesyen kolejnya, ada seorang bapa yang bersusah payah ke sana ke sini, sanggup menjual beg supaya anaknya mampu menghabiskan pengajian.
"Dunia harus tahu bahawa ayah saya sehebat itu," tulisnya dalam video yang setakat ini ditonton lebih 46 juta pengguna TikTok.
Cassandra memberitahu, pada awalnya, bapanya itu tidak dapat menghadiri majlis konvokesyen disebabkan kekangan dari segi kewangan.
"Namun seminggu sebelum majlis, bapa memaklumkan dia akan hadir ke majlis selepas berjaya membuat pinjaman wang," katanya.
Cari duit biayai yuran pengajian
Menurut laporan media antarabangsa, Sandra berkongsi, perjuangan ayahnya sudah bermula sejak dia berada di bangku sekolah menengah.
Sejak kecil sehinggalah, ibu bapanya bekerja sebagai peniaga mi. Bagaimanapun, wabak Covid-19 yang melanda menyebabkan makanan jualan mereka tidak laku hingga akhirnya terpaksa ditutup.
Jelas Sandra, sejak itu, orang tuanya mula mengalami kesukaran untuk membayar yuran persekolahan.
“Mereka terpaksa meminjam wang untuk membayar yuran pengajian saya dan abang,” kata wanita dari Balige, Kabupaten Toba, Sumatera Utara itu.
Bapa Sandra sanggup menjual beg di jalanan supaya anaknya mampu menghabiskan pengajian.
Selepas pandemik Covid-19 mulai membaik, bapa Sandra menjalankan pelbagai jenis perniagaan bermula dengan menjual kayu, sayur, kelapa sehinggalah menjadi pemandu.
“Untuk sekarang bapa buat bisnes beg tetapi sekiranya barang tersebut tidak laku, dia akan berjalan di kawasan sekitar sambil berniaga," kongsinya.
Akui Sandra, semua perjuangan itu dilakukan agar dia dapat menghabiskan pengajiannya.
"Walaupun bapa hanya belajar sampai sekolah rendah, bapa nak anak-anaknya belajar tinggi. Dia tidak mahu kami menjadi sepertinya yang tidak mempunyai pendidikan tinggi.
"Namun bapa bukan tidak mahu ke sekolah, nasibnya lain. Dia sudah jadi anak yatim piatu sejak kecil jadi dia harus bertahan hidup," cerita Sandra.
Kerja bungkus sayur
Enggan hanya berdiam diri, Sandra mengakui dia turut melakukan beberapa pekerjaan sewaktu belajar di kolej sejak semester kedua, demi meringankan beban kedua-dua orang tuanya.
Wanita ini sentiasa memastikan agar dirinya dapat membahagikan masa antara kewajipan untuk belajar dan membantu ibu bapanya dengan bekerja.
“Saya masih ingat pada awalnya saya kerja sebagai pembungkus sayur. Kerja mula pukul 5 pagi, kelas pula 7 pagi. Ada kalanya kalau banyak tempahan, saya kena mula kerja sekitar pukul 3 pagi.
"Tidak dinafikan, kadang-kadang saya masuk kelas dalam keadaan mengantuk, tetapi ia bukan penyebab untuk saya berputus asa," kata Sandra.
Tidak hanya itu, Sandra terus berusaha mencari alternatif lain untuk memperoleh wang termasuk melalui kaedah jualan, menawarkan servis solekan, hias kuku, manortor (tarian Tor Tor) dan juga endorsement (promosi barangan melalui media sosial).
"Semua ini sudah tentu satu proses, lebih-lebih lagi saya seorang perintis yang tidak menerima sebarang modal daripada ibu bapa saya.
"Saya memperoleh wang sendiri untuk modal perniagaan ini tetapi mujurlah saya dapat mengharungi semua itu," ujarnya dengan bangga.
Bapa Sandra akhirnya berpeluang meraikan majlis konvokesyen bersama anaknya.
Ibu bapa juga boleh menangis
Walaupun sudah tamat pengajian dan boleh menjana pendapatan sendiri, Sandra tidak pernah melupakan ibu bapanya.
Dia juga menasihatkan setiap orang yang sedang bergelut dengan kehidupan agar pelajaran agar tidak melupakan ibu bapa mereka.
"Bagi rakan-rakan yang sedang bergelut untuk mendapatkan ijazah atau pendidikan, teruskan semangat dan jangan lupa perjuangan ibu bapa," ujar Sandra.
Baginya, seseorang anak tidak boleh melupakan asal usul dan penat lelah ibu bapa.
“Ibu bapa kita pun baru pertama kali jadi ibu bapa, mereka juga mahu menangis jika berdepan kesukaran, mahu menjerit jika ada masalah, mahu mengalah seandainya hidup tidak berjalan lancar, tetapi mereka tidak mahu kita tahu apa yang dialami," tutur Sandra. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram