'Anak sampai masuk kuali kawah,' cabaran jaga 4 cahaya mata istimewa tak halang Norhidayu berniaga 'lunch pack' buat warga Slim River


  • Bizz
  • Jumaat, 27 Dis 2024

Bagi Norhidayu (duduk kiri), kekuatan mental dan sokongan keluarga menjadi tunjang utama dalam menghadapi segala dugaan.

DIKURNIAKAN empat cahaya istimewa sama sekali tidak menjadi penghalang buat Norhidayu Mohamad Kamar, 34, membina nama sebagai usahawan yang menawarkan aneka hidangan.

Mengakui ada ketikanya dia juga pernah merasakan lelah dek keperluan membahagikan tugas sebagai ibu dan menyiapkan tempahan pelanggan, namun tidak pernah terlintas di fikiran wanita kelahiran Slim River, Perak itu untuk berputus asa, malah tetap teguh melangkah.

Enggan menoktahkan karier sebagai peniaga makanan, Norhidayu memberitahu, minat terhadap dunia masakan dan perniagaan setia menemani setiap langkah perjuangan.

BACA LAGI: Dari kecil jarang masuk dapur, bekas juruukur bahan kini miliki 'central kitchen' sendiri bekalkan kek sekitar Lembah Klang

BACA LAGI: Ketepi rasa malu, bekas 'cleaner' hospital tawar servis cucian cermin profesional sekitar Johor

kek

Norhidayu bermula dengan menjual pelbagai jenis kek seperti kek kukus coklat.

Norhidayu sebelum ini bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai telefon selama 10 tahun.

Namun, keadaan mulai berubah apabila anak sulungnya, Izz Zahraa Ahmad Ibrahim, 11 yang didiagnosis dengan Gangguan Kecelaruan Tumpuan dan Kelasakan (ADHD), mendaftar masuk di sekolah rendah ketika darjah satu.

"Anak memerlukan perhatian penuh semasa di sekolah. Setiap hari saya kena tunggu dia sebab dia selalu cuba lari keluar sekolah. Jadi agak sukar nak fokus pada kerja.

"Sehinggalah akhirnya, saya berhenti kerja selepas dia dimasukkan ke sekolah khas," katanya kepada Majoriti.

Cabaran buat Norhidayu bagaimanapun tidak terhenti di situ disebabkan keempat-empat anak perempuannya, termasuk pasangan kembar, memerlukan penjagaan khas.

Keadaan itu menjadikan sukar untuk wanita tersebut kembali ke dunia pekerjaan sehinggalah dia memutuskan untuk berhenti kerja dan memberi fokus pada penjagaan anak-anak.

Untitled design (16)

Antara pilihan pek makanan tengah hari yang dijual oleh Norhidayu.

"Disebabkan itu saya berhenti dan kebetulan semasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), ramai rakyat Malaysia tidak boleh keluar rumah, jadi saya melihat peluang untuk menjual kek dari rumah.

"Dari situ saya fikir, kenapa tidak cuba meniaga? Saya memang tak boleh kerja dengan orang sebab kena uruskan semua anak-anak.

"Jadi bermula dengan pelbagai jenis jualan kek seperti kek kukus coklat, burnt cheesecake dan kek pandan, minat dalam perniagaan mula berkembang," ujarnya yang berhasil menjual sekitar 40 hingga 50 biji kek sehari dalam tempoh tersebut.

Selepas aneka kek, atas permintaan ramai, anak ketiga daripada empat beradik itu mula menjual makanan berat, dengan menu pertama yang diperkenalkan adalah mi segera dengan ayam goreng.

"Itu first hit saya, memang sangat-sangat laku pada waktu itu," jelasnya mengimbau kenangan ketika mula berniaga dari rumah sejak 2020.

7

Norhidayu bersyukur apabila pek makanan tengah hari yang ditawarkan mendapat sambutan menggalakkan.

Perniagaan yang bermula secara kecil-kecilan itu berkembang apabila pelanggan mula mencadangkan menu untuk pek makanan tengah hari seperti nasi ayam dan pelbagai jenis menu harian.

Usahawan tersebut memanfaatkan kemudahan di laman web Google untuk mempelajari dan mempelbagaikan jenis sajian.

Bagi menyediakan hidangan ala Barat pula, dia mengambil langkah proaktif dengan mengikuti kelas masakan untuk memastikan hasilnya benar-benar berkualiti.

Selepas beberapa tahun berniaga, Norhidayu berjaya mengembangkan perniagaannya dalam bidang katering, dengan mempromosikan bisnes menerusi Facebook dengan nama akaun Nor Hidayu.

"Bantuan modal perniagaan yang diterima daripada RISDA (Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah) dan Baitulmal membolehkan saya memperoleh kelengkapan lengkap seperti periuk nasi, periuk besar dan keperluan masakan lain," katanya.

4

Daging harimau menangis antara menu yang ditempah pelanggannya.

Cabaran

Norhidayu mengakui, mengimbangi tanggungjawab sebagai ibu kepada anak-anak istimewa, sambil menguruskan perniagaan makanan bukanlah sesuatu yang mudah.

Akuinya, cabaran terbesar adalah menjaga anak kembar, yang mana salah seorangnya disahkan mengalami autisme tahap sederhana atau teruk hingga sukar untuk dia mencapai tahap perkembangan normal.

Dia turut berkongsi pengalaman getir apabila anak kembarnya itu pernah terjatuh ke dalam kawah masakan usai menyiapkan tempahan makanan untuk pelanggan.

8

Norhidayu tetap tabah dan berusaha memberikan yang terbaik buat anak-anak istimewanya.

"Berbeza dengan sekarang, pada awalnya dapur saya dulu agak rendah. Jadi dia (anak) berlari dari depan ke belakang sampailah terlanggar sesuatu dan terus masuk dalam kawah.

"Mujurlah masa itu saya baru sahaja selesai basuh kawah tersebut, bukan tengah masak.

"Jadi tiada sebarang kecederaan serius berlaku," kongsinya sambil mengenang insiden yang berlaku ketika anaknya itu berusia tujuh tahun.

Walaupun diuji dengan cabaran menjaga anak istimewa dan mengurus perniagaan, dengan bantuan suami, wanita itu tetap tabah dan berusaha memberikan yang terbaik buat keluarganya.

Baginya, kekuatan mental dan sokongan keluarga menjadi tunjang utama dalam menghadapi segala dugaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram