'Arwah Amir penyayang, suka memasak', keluarga harap kematian kadet Palapes UiTM dapat keadilan


  • Massa
  • Khamis, 28 Nov 2024

Muhammad Amir (gambar kecil) maut ketika menjalani menjalani latihan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) UiTM merancang untuk mengambil tindakan undang-undang.

KELUARGA Allahyarham Muhammad Amir Rusyaidi Muhammad Zaidi yang maut ketika menjalani latihan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi MARA merancang untuk mengambil tindakan undang-undang.

Muhammad Zaidi Abdul Rahman, 52, berkata, bukan untuk mempertikaikan siasatan yang sedang dijalankan tetapi bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.

"Saya tidak mahu mempertikaikan siasatan atau laporan mana-mana pihak dan apa yang kami mahukan adalah keadilan untuk arwah.

BACA LAGI: Kadet UiTM maut kerana strok haba, tiada kecederaan dalaman — Ketua Polis Selangor

BACA LAGI: KPT tunggu laporan kematian pelajar UiTM didakwa kena dera, ditunggang seperti kuda ketika jalani latihan Palapes

"Saya dan isteri telah memberikan kenyataan berhubung insiden tersebut, dan apa yang kami harapkan adalah siasatan menyeluruh," katanya pada Khamis.

Muhammad Zaidi yakin bahawa siasatan pihak polis akan membongkar kebenaran di sebalik kematian anak sulungnya, Muhammad Amir Rusyaidi, 25.

Beliau menggambarkan Muhammad Amir sebagai seorang yang penyayang, terutama terhadap adik-beradiknya.

"Dia selalu membawa adik-adiknya bercuti setiap kali cuti semester. Dia rapat dengan mereka.

"Dia gemar memasak, setiap kali ada masa lapang ketika cuti, dia akan memasak untuk kami," luahnya dengan nada sayu.

Pihak Angkatan Tentera baru-baru ini memaklumkan kematian kadet tersebut sedang disiasat oleh Cawangan Provos Marsyal Tentera Udara.

“Siasatan akan dijalankan secara menyeluruh dan tanpa berat sebelah.

"Tindakan undang-undang akan diambil terhadap pihak yang terlibat sekiranya didapati bersalah,” kata mereka dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan seorang bapa mendakwa anaknya meninggal dunia semasa menjalani latihan tentera.

Bapa mangsa tersebut mendakwa anaknya telah dipijak di bahagian dada dan diperlaku seperti 'kuda tunggangan' oleh jurulatihnya.

Dia juga mendakwa anaknya dibiarkan tanpa rawatan selama 30 minit di tengah padang selepas pengsan akibat panas terik matahari. — The Star/ JUNAID IBRAHIM

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram