Kadet UiTM maut kerana strok haba, tiada kecederaan dalaman — Ketua Polis Selangor


  • 112
  • Khamis, 28 Nov 2024

Insiden kematian pegawai kadet Palapes UiTM dikelaskan sebagai mati mengejut.

PUNCA kematian salah seorang kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam adalah disebabkan strok haba.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kematian pegawai kadet itu adalah disebabkan kegagalan beberapa organ disebabkan strok haba sambil menafikan berlakunya kecederaan dalaman.

"Insiden tersebut dikelaskan sebagai kematian mengejut," kata Hussein pada Khamis.

BACA LAGI: KPT tunggu laporan kematian pelajar UiTM didakwa kena dera, ditunggang seperti kuda ketika jalani latihan Palapes

BACA LAGI: Kes buli UPNM: 5 pegawai kadet ditamatkan perkhidmatan, kena bayar ganti rugi

Pada 10 November, mangsa dikenali sebagai Muhammad Amir Rusyaidi Muhammad Zaidi dihantar ke Hospital Shah Alam, Selangor selepas pengsan semasa melakukan latihan kawad.

Menurut rekod, mangsa sudah menyertai unit beruniform tersebut sejak dari penghujung Oktober.

"Siasatan awal mendapati yang pelajar tersebut menyertai Palapes di UiTM Shah Alam sejak akhir Oktober dan menjalani latihan kecergasan sebelum menjalani latihan asas bermula tahun depan.

"Pada hari kejadian, pelajar tersebut dihukum oleh jurulatihnya kerana ketinggalan semasa sesi larian. Dia diarahkan untuk melakukan tekan tubi. Selepas itu, dia kemudiannya pengsan," ujar Hussein.

Rawatan kecemasan diberikan kepada mangsa sebaik saja tiba di hospital namun ia tidak memberikan perkembangan positif.

Selepas tiga hari bertarung nyawa, mangsa kemudiannya meninggal dunia.

"Pelbagai cara dilakukan untuk pastikan mangsa kembali berhidrasi tetapi ia tidak menghasilkan keputusan positif.

"Mangsa mengalami kekejangan dan diberikan rawatan lanjut sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Mangsa kemudiannya meninggal dunia pada 13 November," ujarnya.

Bapa kepada mangsa kemudiannya membuat laporan polis pada 15 November dengan polis sudah mengambil keterangannya berserta sembilan saksi lain.

Dalam pada itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menjalankan siasatan terhadap laporan dilakukan oleh seorang lelaki yang mengatakan kematian anaknya dikaitkan dengan buli. — The Star/FARIK ZOLKEPLI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram