Nahas babit lori ragut lebih 1,400 nyawa pengguna jalan raya dalam tempoh 6 tahun lalu


  • 112
  • Sabtu, 28 Dis 2024

Jumlah kematian tertinggi kemalangan melibatkan lori iaitu 274 dicatatkan pada 2019, diikuti 2024 dengan 260 kematian.

SEBANYAK 1,457 kematian direkodkan dalam 3,500 kemalangan jalan raya membabitkan lori di seluruh negara dari Januari 2019 hingga November lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, dalam tempoh sama, 473 kes kecederaan parah dan 1,076 kes cedera ringan dilaporkan.

Menurutnya, jumlah kematian tertinggi iaitu 274 dicatatkan pada 2019, diikuti 2024 dengan 260 kematian, 2023 (235 kematian), 2022 (232 kematian), 2021 (230 kematian), dan 2020 (226 kematian).

BACA LAGI: Ibu, anak 2 tahun maut, 4 lagi cedera kemalangan di WCE

BACA LAGI: [VIDEO] Pelumba 'drag race' maut kemalangan di Sandakan, acara perlumbaan ditangguh serta-merta

Berhubung kemalangan membabitkan bas, Mohd Yusri berkata, sebanyak 548 kes direkodkan dalam tempoh sama iaitu 153 kematian, 120 cedera parah dan 218 cedera ringan.

“Polis akan terus memperhebatkan operasi pemantauan dan penguatkuasaan ke atas kenderaan komersial khususnya lori dan bas dalam usaha mengurangkan jumlah kematian,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Mohd Yusri berkata, polis akan meningkatkan kerjasama dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Antidadah Kebangsaan dan syarikat konsesi tol bagi tujuan itu.

PDRM Traffic Investigation and Enforcement Department director Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.

Beliau juga berharap pemilik, syarikat dan pemandu kenderaan komersial akan bekerjasama untuk memastikan keselamatan kenderaan mereka.

Sementara itu, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) berkata, kajian mereka mendapati kemalangan membabitkan lori di lebuh raya lebih berkemungkinan mengakibatkan kematian berbanding jalan lain seperti jalan persekutuan, negeri dan perbandaran.

“Ini mungkin disebabkan oleh kelajuan kenderaan yang lebih tinggi di lebuh raya. Selain itu, lori dengan muatan berat, apabila bergerak pada kelajuan lebih tinggi, mencipta momentum yang ketara jika terlibat dalam kemalangan jalan raya.

“Kajian sama juga menunjukkan risiko kematian dalam kemalangan membabitkan lori lebih tinggi jika kejadian berlaku di selekoh, berbanding geometri jalan lain.

“Selain itu, risiko kematian bagi pengguna kenderaan lain, kecuali bas, adalah lebih tinggi apabila terlibat dalam kemalangan dengan lori,” katanya dalam satu kenyataan.

Miros juga berpendapat kemalangan disebabkan tayar longgar boleh berpunca daripada komponen kenderaan berkualiti rendah, amalan penyelenggaraan lemah dan membawa beban berlebihan melebihi had berat disyorkan.

Ia mengingatkan pemilik semua jenis kenderaan untuk memastikan kelayakan jalan raya mereka pada setiap masa. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram