PASTI ramai yang mengimpikan memiliki rumah idaman dan berharap proses melihat model rumah berjalan lancar serta meninggalkan kesan positif.
Sama ada anda sedang mencari rumah pertama atau ingin berpindah ke rumah yang lebih besar, mengikuti adab yang betul ketika menghadiri sesi melawat tapak adalah kunci untuk mencipta pengalaman yang menyenangkan dan memberi kesan baik kepada pemilik rumah dan ejen hartanah.
Bagi mempromosikan tapak rumah, pemaju hartanah atau ejen hartanah akan mengadakan sesi open house untuk mempamerkan projek-projek hartanah baru mereka.
Ejen hartanah menunjukkan rumah ketika sesi lawatan pertunjukan model rumah. — IQI iRealty Group
Biasanya, pengunjung boleh melihat model rumah, menerima maklumat tentang projek dan mungkin juga berpeluang untuk melakukan lawatan ke tapak atau unit contoh.
Membeli rumah adalah komitmen kewangan yang besar dan sering dianggap sebagai salah satu keputusan paling penting dalam kehidupan seseorang.
Oleh itu, untuk membuat keputusan yang bijak adalah penting untuk melihat rumah secara peribadi.
Jadi inilah sebabnya mengapa pertunjukan model rumah di tapak masih popular dalam pasaran hartanah, baik di Malaysia mahupun global.
Pembeli sering kali menghabiskan berjam-jam melawat beberapa hartanah dalam satu masa.
Pertunjukan model rumah di lokasi memberi peluang melawat pelbagai rumah, namun adab yang betul penting baik bagi pembeli dan pemilik rumah.
1. Ketepatan masa
Untuk memanfaatkan lawatan model rumah sebaiknya, pembeli harus tiba tepat pada masanya.
Ketepatan masa akan meninggalkan kesan baik dan memastikan kelancaran acara bagi mengelakkan gangguan kepada ejen, peserta lain dan terutama sekali pemilik rumah.
Pastikan juga untuk mengambil kira kemungkinan kesesakan lalu lintas atau kelewatan lain semasa merancang kunjungan.
2. Berpakaian sopan dan selesa
Pemakaian yang sesuai juga memainkan peranan penting.
Berpakaian sopan dan selesa adalah penting kerana ia mencerminkan rasa hormat terhadap pemilik rumah dan hartanah tersebut.
Selain itu, rumah terbuka melibatkan penjelajahan bilik-bilik rumah jadi adalah baik sekiranya mengelakkan memakai kasut kerana ia tidak diterima dalam banyak budaya termasuk di Malaysia.
3. Hormati harta benda pemilik rumah
Setibanya di dalam rumah, pembeli harus peka dengan harta benda pemilik rumah.
Jaga jarak daripada barangan peribadi dan elakkan menyentuh atau mengubah apa-apa kecuali perlu.
Membuka laci atau kabinet tanpa kebenaran adalah tidak sopan dan harus dielakkan.
Rasa hormat terhadap hartanah akan mencerminkan karakter pembeli dan juga menghargai usaha pemilik dalam menyediakan rumah untuk dilihat.
4. Minta kebenaran sebelum mengambil gambar
Mengambil gambar atau video semasa lawatan tapak model rumah boleh membantu pembeli untuk melihat semula hartanah, tetapi adalah lebih sopan untuk meminta kebenaran terlebih dahulu daripada ejen hartanah atau pemilik rumah.
Perkara itu bagi menghormati privasi mereka dan mengelakkan sebarang salah faham.
5. Berikan maklumat diri kepada ejen hartanah
Semasa berinteraksi dengan ejen hartanah, pastikan untuk menyediakan maklumat hubungan seperti nama penuh, nombor telefon dan alamat e-mel.
Memberi maklumat berkenaan dapat memudahkan komunikasi untuk pertanyaan lanjut dan juga menunjukkan minat pembeli terhadap hartanah tersebut.
Berpakaian sopan dan selesa adalah penting kerana ia mencerminkan rasa hormat terhadap pemilik rumah dan ejen hartanah tersebut.
6. Elak membuat komen negatif
Kadangkala, peserta lawatan model rumah akan berbincang tentang ciri-ciri dan kelemahan hartanah.
Elakkan daripada membuat komen negatif atau kritikan yang tidak perlu kerana ia boleh mencipta suasana yang tidak selesa dan mungkin dianggap kurang sopan oleh pemilik rumah.
Jika ada kebimbangan atau soalan boleh ajukan secara konstruktif kepada ejen hartanah.
7. Ucapkan terima kasih
Setelah selesai melawat model rumah adalah baik untuk mengucapkan terima kasih kepada pemilik rumah atau ejen hartanah kerana meluangkan masa dan memberi peluang untuk melihat hartanah tersebut.
Ucapan terima kasih yang ringkas akan meninggalkan kesan yang baik dan memupuk hubungan yang harmoni walaupun ia mungkin kelihatan remeh namun sebenarnya boleh meninggalkan kesan yang mendalam.
8. Peraturan lawatan model rumah dan keselamatan
Meskipun menghadiri lawatan pertunjukan rumah biasanya tidak memerlukan permit tertentu, adalah penting untuk memahami peraturan tempatan terutama jika anda menganjurkan acara tersebut.
Pihak berkuasa tempatan mungkin mempunyai peraturan mengenai gangguan bunyi atau aliran trafik yang tinggi jadi pastikan untuk merujuk kepada pihak berkuasa setempat untuk mematuhi undang-undang yang berkaitan.
Di kawasan perumahan yang mempunyai Persatuan Pemilik Rumah (HOA), pemilik rumah perlu mematuhi peraturan khusus mengenai pertunjukan model rumah seperti memaklumkan jiran-jiran tentang acara tersebut dan mematuhi waktu yang ditetapkan.
9. Pertimbangan keselamatan
Keselamatan adalah aspek penting semasa rumah terbuka terutama jika pelawat dibenarkan bergerak bebas tanpa pengawasan.
Pemilik rumah perlu mengambil langkah-langkah keselamatan tambahan seperti memasang sistem pengawasan atau mengupah pengawal keselamatan profesional terutamanya jika hartanah tersebut besar atau mewah.
10. Logistik dan kesesakan lalu lintas
Pemilik rumah juga perlu mempertimbangkan logistik bagi menampung ramai pengunjung termasuk isu aliran trafik dan tempat letak kereta.
Memaklumkan jiran tentang rancangan pertunjukan model rumah dan memberikan cadangan tempat letak kereta alternatif akan mengurangkan kesulitan kepada pengunjung dan penduduk setempat.
Menghadiri pameran rumah adalah peluang yang berharga untuk pembeli menilai hartanah secara langsung.
Dengan mengikut adab yang betul, pembeli dapat memanfaatkan pengalaman itu dengan baik dan mencipta kesan positif kepada pemilik rumah dan ejen hartanah.
Jadi ingat ya kesopanan, rasa hormat dan kepekaan adalah kunci untuk memastikan lawatan rumah berjaya dan berjalan lancar. — The Star/SAMANTHA WONG
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram