[VIDEO] Buka kedai nasi daun pisang di PJ, pengarah filem Tamil mahu hidupkan kenangan masakan nenek di tengah kota


  • Bizz
  • Jumaat, 27 Dis 2024

Kavi (kiri) bergambar bersamanya ibunya, Vijayalakshmi (tengah) dan isteri, Navaamsini Boopalan.

TERLETAK di sebuah kedai tingkat satu di kawasan padat dengan penduduk Sea Park, Petaling Jaya, Selangor, restoran Achi Ayahdorai kini menjadi tumpuan peminat makanan tradisional India.

Pada petang Rabu, hanya beberapa minit selepas dibuka, restoran ini sudah dipenuhi dengan kehadiran pelanggan.

Menjelang tengah hari, suasana semakin meriah dengan kunjungan pekerja korporat dan penduduk sekitar yang ingin menikmati hidangan nasi daun pisang yang terkenal itu.

BACA LAGI: Hasil sayur ditanam sistem AI tak sedap? BoomGrow Farms mahu hapus persepsi demi sekuriti makanan negara

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Rata-rata mengakui hidangan yang disediakan di restoran Achi Ayahdorai mengingatkan mereka kepada air tangan nenek.

“Rasam di sini mengingatkan saya kepada masakan nenek manakala varuval kambing memang terbaik!” komen mereka.

Achi Ayahdorai bukan sekadar restoran, tetapi penghormatan kepada masakan rumah yang penuh nostalgia, menghidupkan semula kenangan masakan nenek di tengah-tengah kesibukan bandar.

Restoran yang mula beroperasi beberapa bulan lalu itu adalah hasil idea Kavi Nanthan, seorang pembikin filem yang pernah mengarahkan filem Tamil Malaysia seperti Venpa dan Kalapadam.

Inspirasi pembukaan restoran tersebut datang daripada pengalaman masa kecilnya, yakni ketika menikmati masakan nenek, yang turut dijadikan sebagai nama restoran ini.

Food review at Achi Ayahdorai in Petaling Jaya on December 18.—AZMAN GHANI/The Star

Nasi daun pisang di restoran tersebut menawarkan pelbagai jenis sayur yang jarang ditemui.

Dari akauntan ke pemilik restoran

Kavi, yang berasal dari Kulim, Kedah, berkongsi bahawa neneknya memainkan peranan besar dalam membentuk cintanya terhadap makanan.

Ketika tinggal bersama nenek sewaktu tahun akhir persekolahan, dia berpeluang menikmati masakan istimewa seperti kari sotong dan ayam varuval setiap hari.

Selepas berpindah ke Kuala Lumpur, Kavi memulakan karier sebagai akauntan di samping mengusahakan perniagaan katering kecil bersama ibunya, Vijayalakshmi Shanmugam, sebagai tukang masak utama.

Namun, apabila beralih ke industri perfileman, Kavi terpaksa menghentikan perniagaan katering berkenaan.

Pandemik Covid-19 yang melanda turut mendorongnya untuk mencari sumber pendapatan lain.

“Saya mahu memulakan perniagaan yang boleh menyara keluarga. Jadi saya terfikir untuk memanfaatkan bakat memasak ibu," katanya.

Food review at Achi Ayahdorai in Petaling Jaya on December 18.—AZMAN GHANI/The Star

Restoran ini sentiasa dipenuhi ramai pelanggan terutamanya sewaktu makan tengah hari.

Menu klasik dan masakan rumah

Achi Ayahdorai kini dikenali dengan hidangan nasi daun pisang, lengkap dengan pelbagai lauk-pauk yang dimasak segar mengikut piawaian rapi ibunya.

Kavi juga ingin memastikan rasa masakan di restorannya menyerupai hidangan tradisional yang biasa dihidangkan di rumah.

Set Nasi Daun Pisang yang berharga RM12.90 menjadi antara pilihan utama pelanggan.

Menu itu menawarkan nasi yang dihidangkan bersama empat jenis sayur, chutney, acar, cili kering, papadam, rasam dan pelbagai jenis kuah kari.

Antara hidangan sampingan istimewa ialah Kari Ketam Lumpur (RM60 setiap ketam) yang kaya dengan rasa pedas dan beraroma, kerangupan Fried Ikan Bilis with Onion (RM7.90) dan Fish Cutlets (RM9.90) yang kaya dengan rempah.

Bagi peminat vegetarian, Lion’s Mane Mushroom Rendang (RM12.90) menawarkan rasa unik dan memuaskan.

Food review at Achi Ayahdorai in Petaling Jaya on December 18.—AZMAN GHANI/The Star

Hidangan kari ketam yang pedas dan penuh dengan letusan rasa.

Masa depan Achi Ayahdorai

Walaupun populariti restoran ini terus meningkat, Kavi masih belum merancang untuk meluaskan perniagaannya dalam masa terdekat.

“Saya ingin mengukuhkan jenama ini terlebih dahulu sebelum membuka cawangan baharu,” jelasnya.

Dalam tempoh lima tahun akan datang, usahawan tersebut merancang untuk membuka dua lagi cawangan di Lembah Klang selain meluaskan perniagaan ke negeri lain dalam tempoh 10 tahun mendatang. — The Star/ABIRAMI DURAI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram