SEORANG bapa kepada lima anak bakal menjadi lelaki pertama disebat secara terbuka di sebuah masjid di Terengganu pada 6 Disember depan atas kesalahan berkhalwat berulang kali.
Hakim kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail menjatuhkan hukuman enam sebatan selepas Mohd Affendi Awang, 42, yang juga seorang tukang kayu mengaku bersalah melakukan khalwat buat kali ketiga,
Mahkamah memerintahkan pada Rabu agar hukuman itu dijalankan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah di Kuala Terengganu pada 6 Disember selepas solat Jumaat, sebaik sahaja tempoh rayuan tamat.
BACA LAGI: ‘Doakan baik-baik’, Farid Kamil tak lagi bawa bunga, pakai ala-ala berkabung ke mahkamah
BACA LAGI: Perbicaraan tuntutan gaji LTK-Perak FC bersambung Selasa, pertukaran mahkamah tak beri kesan
Affendi, seorang duda itu didakwa mengikut Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) (Pindaan) 2022.
Tertuduh turut dikenakan denda RM4,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Mohd Affendi didapati berkhalwat dengan seorang wanita berusia 52 tahun di sebuah rumah di Kemaman pada pukul 1.40 pagi, 16 Jun lalu.
Hukuman rotan dikenakan terhadap tertuduh kerana ini merupakan kesalahan ketiganya.
Kamalruazmi dalam penghakimannya berkata, dalam menjatuhkan apa-apa hukuman, objektif utama dalam syariat dan daripada segi agama adalah memberi pengajaran,pendidikan dan sebagainya suatu pencegahan supaya perkara yang sama tidak berulang khususnya ke atas tertuduh dan juga sebagai peringatan pencegahan ke atas orang awam secara amnya.
“Seorang mukmin tidak jatuh ke dalam lubang yang sama dua kali. Kamu (Affendi) pernah dirotan dan dipenjarakan sebelum ini, namun kamu melakukan kesalahan yang sama lagi.
“Hukuman pertama (sebatan bagi khalwat) sepatutnya sudah cukup untuk menyemai keinsafan,” katanya.
Tertuduh (tengah) dibawa ke Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada Rabu. — Sinar Harian
Sebelum ini, Affendi didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara selepas mengaku bersalah atas pertuduhan berkhalwat pada 11 Julai tahun lalu di Mahkamah Rendah Syariah Kemaman.
Dia didakwa sekali lagi atas kesalahan sama pada 25 Januari dan pada 19 Februari, Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu menjatuhkan hukuman empat sebatan dan denda RM3,000 atau penjara enam bulan ingkar.
Affendi merupakan pesalah khalwat pertama di Terengganu yang dijatuhkan hukuman rotan atas kesalahan berulang.
Mengikut pindaan Syariah Terengganu yang berkuat kuasa 1 Januari, pesalah berulang berdepan hukuman sehingga enam sebatan, denda sehingga RM5,000, atau penjara sehingga tiga tahun.
Pendakwaan kes oleh Timbalan Ketua Pendakwa Syarie, Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram