'Setiap kali berjumpa, dia akan menangis', abang arwah nahas Ayer Keroh kongsi detik-detik perubahan sikap Noorisnien


  • Massa
  • Selasa, 24 Dis 2024

Seramai tujuh individu meninggal dunia dalam kemalangan di KM204 Lebuhraya Utara-Selatan itu.

PEMANDU bas peranginan, Noorisnien Khamid yang meninggal dunia dalam insiden membabitkan lima kenderaan di KM204 Lebuhraya Utara-Selatan pada Isnin sudah menunjukkan perubahan sikap beberapa bulan kebelakangan ini.

"Arwah abang saya ada perbezaan kebelakangan ini. Setiap kali kami berjumpa, dia akan menangis sama ada kami bersalaman atau berpelukan," kata abangnya, Noorismail yang berusia 50 tahun.

Noorismail menerima berita duka itu daripada rakannya yang tersekat dalam keseskaan lalu lintas disebabkan kemalangan tersebut sebelum dia berkongsi gambar memaparkan kad pengenalan mangsa selepas ia tersebar di media sosial.

BACA LAGI: [VIDEO] Tayar treler tercabut punca nahas ragut 7 nyawa termasuk kanak-kanak di Lebuhraya PLUS

BACA LAGI: Tiga sefamili maut, nahas babit 2 kereta dekat simpang masuk ladang di Mersing

4

Allahyarham Noorisnien yang memandu bas peranginan dalam insiden tersebut.

"Sejak waktu Maghrib, saya ada rasa tidak senang, tidak bermaya. Saya tidak pernah bayangkan tragedi seperti ini akan menimpa keluarga," katanya di Jabatan Perubatan dan Forensik dekat Hospital Melaka pada Selasa.

Allahyarham Noorisnien yang menetap di Kampung Tawakal, Kempas, Johor bekerja sebagai pemandu bas sambilan selepas kehilangan kerja di sebuah syarikat bas peranginan pada 2020 akibat pandemik Covid-19.

Menurut Noorismail lagi, arwah sebelum ini sering bertemunya sebelum setiap perjalanan, namun pada hari kejadian, dia tidak berbuat demikian.

"Arwah meninggalkan empat orang anak dan seorang cucu. Jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Maju Jaya, Kempas selepas Asar," tambahnya.

Nahas tersebut berlaku pada pukul 8.45 malam Isnin yang mengorbankan tujuh nyawa, termasuk lima ahli keluarga sementara 33 yang lain cedera.

Kemalangan membabitkan lima buah kenderaan iaitu sebuah bas yang membawa 27 penumpang, dua lori, sebuah kereta dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).

Siasatan awal mendapati bas berkenaan melanggar tayar lori tercabut di tengah jalan sehingga menyebabkannya hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempih tiga kenderaan lain. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram