MENTERJEMAHKAN puisi atau pantun ke dalam bentuk visual bukanlah tugas mudah untuk dilakukan.
Hal ini kerana, ia memerlukan pemahaman mendalam terhadap kandungan dan setiap makna tersirat dalam karya yang dihasilkan.
Para pelukis perlu memahami lapisan makna dalam teks, baik yang tersurat mahupun tersirat bagi memastikan hasilnya dapat menyampaikan mesej selari kepada penonton.
Mohammad Puad memainkan peranan penting dalam mengangkat karya-karya agung anak seni tempatan terutamanya di Sabah. — Balai Seni Negara
Mengulas lanjut, pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr. Mohammad Puad Bebit memainkan peranan penting dalam memberi panduan kepada pelukis-pelukis melalui pelbagai inisiatif yang kreatif.
Mohammad Puad yang juga merupakan ahli Jawatankuasa Persatuan Seni Visual Negeri Sabah turut aktif dalam Ikatan Penulis Sabah untuk memperjuangkan karya-karya tempatan, termasuk puisi, pantun, cerpen dan banyak lagi.
Mula menceburi bidang seni lukisan sejak berusia 14 tahun, Mohammad Puad lebih meminati ilustrasi kartun, animasi grafik serta puisi berunsurkan lawak jenaka iaitu dalam bentuk visual.
Kebanyakan lukisan yang dihasilkan beliau juga menyampaikan mesej tentang kemasyarakatan dan kehidupan manusia.
Bercerita pula tentang perjalanannya dalam bidang itu, Mohammad Puad ternyata pernahl menjual lukisannya di pameran dan bawah pokok di hadapan Muzium Sabah, Penampang.
Antara karya lukisan yang pernah dihasilkan Mohammad Puad. — Amaze
Demi minatnya, Mohammad Puad juga gigih menjual lukisan berukuran A3 dengan harga RM50 selepas pulang dari sekolah dan ketika waktu lapang.
Dengan kebolehannya, beliau juga pernah menjual lukisan dengan harga paling mahal iaitu RM5,000 pada usia belasan tahun.
Puisi Sabah
Sebagai penggiat seni yang sudah lama menetap di negeri di bawah bayu itu, Mohammad Puad kini rancak mengangkat nama Sabah melalui karya-karya agung yang mencerminkan identiti dan warisan budaya tempatan di program seni yang dianjurkan.
"Sebagai contoh, dalam program Manifestasi Dua Seni di Balai Seni Negara, Kuala Lumpur, saya memilih Haji Sukor Haji Usin atau nama penanya Hasyuda Abadi.
"Ini bertujuan untuk memperkenalkan karya beliau yang kaya dengan tema ketuhanan, alam semula jadi dan komuniti di Sabah melalui visual.
"Maksudnya cerita rasa dia itu adalah berbau Sabah seperti pantun yang berkaitan dengan pekan, daerah dan etnik di negeri ini," katanya kepada Majoriti.
Puisi Hasyuda Abadi antara karya yang diangkat untuk menonjolkan lagi nama Sabah di seluruh negara.
Mohammad Puad berkata, ia juga selari dengan keinginannya untuk menonjolkan lagi keunikan puisi-puisi Sabah.
Katanya, meskipun puisinya tidaklah mempunyai perbezaan ketara dengan di Semenanjung dari segi luarannya.
Namun, elemen tempatan seperti cerita rakyat dan keindahan alam dapat mencerminkan identiti serta budaya di Sabah yang mungkin tidak ramai yang tahu.
"Ia tidak semestinya disampaikan dengan dialek Sabah sahaja, tetapi bagaimana pelukis menggambarkan satu cerita dengan lukisan mereka," katanya.
Menurutnya lagi, lukisan itu juga bukan hanya katakan gunung daik berjabang tiga, bukan gambar gunung yang dilukiskan semata.
"Contoh lain seperti pantun pisang emas dibawa berlayar. Jadi, bagi saya bukan lukisan pisang dan perahu itu menggambarkan pantun tersebut sahaja, tetapi macamana hutang emas itu boleh dibayar dan dibawa mati," jelasnya.
Mohammad Puad pada masa sama beranggapan bahawa seni sebagai medium untuk menyampaikan sesuatu informasi atau ekspresi.
Baginya, para penggiat seni lukisan juga perlu mempunyai kemahiran dalam memahami konteks dan konten secara menyeluruh sebelum menghasilkan karya visual mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram