Bukan lagi 'gajah putih', sinar baharu Hentian Kajang, kini pusat pertemuan pencinta buku


  • Massa
  • Selasa, 24 Dis 2024

Kompleks Hentian Bas Kajang yang bakal menjadi pusat tumpuan orang ramai termasuk para pencinta dan penjual buku.

KIRA-KIRA lima tahun sunyi dan seolah-olah seperti bangunan terbengkalai, Kompleks Hentian Bas Kajang, Selangor kini tidak lagi sepi, bahkan premis itu bagai diberi 'nyawa' baharu.

Dengan kewujudan program Hentian Buku Selangor, ia menjadi simbol kebangkitan kepada para pencinta dan pengkarya di negeri itu.

Inisiatif yang dimulakan oleh Pertubuhan Kota Buku Bangi sejak 2016 itu pernah bertapak di tempat letak kereta Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Hulu Langat dan kemudiannya berkembang ke Bazar Karat Streetmall Bangi Gateway pada 2019 sebelum berpindah di Hentian Bas Kajang pada 2024.

BACA LAGI: ‘Hamburg jadi Hamburger’, petugas DBP kongsi asam garam ajar bahasa Melayu pada warga asing

BACA LAGI: Bahana batal konsert 'last minute', keputusan percubaan SPM penganjur dibongkar selagi tak 'refund' duit

Hentian-Bas-Kajang-min

Kompleks Hentian Bas Kajang yang kelihatan sunyi dan suram.

Bercerita lanjut tentang usaha itu, Pengerusi Pertubuhan Kota Buku Bangi, Syed Mohd Zakir Syed Othman atau lebih dikenali sebagai SM Zakir berkata, ia ditubuhkan bagi mengadakan aktiviti mingguan yang melibatkan pertemuan penggemar buku secara santai.

Katanya, aktiviti itu juga membenarkan para pengunjung menjual atau membeli buku yang diminati sesama sendiri.

SM Zakir turut berkata, acara mingguan itu berjaya menarik perhatian ramai dengan 10 kios buku beroperasi secara konsisten.

Kini, Hentian Buku Selangor menempatkan 10 kedai tetap di Hentian Bas Kajang selain gerai kecil yang dikenakan sewa serendah RM15 dengan kelengkapan meja kecil bagi menjadikannya sebagai platform mesra komuniti untuk penjual buku tempatan kecil-kecilan.

"Setiap hari Sabtu, suasana di Hentian Buku Selangor akan jadi meriah dengan kedatangan penjual buku luar yang dijemput untuk menyertai acara mingguan.

"Aktiviti ini tidak hanya menjual buku tetapi juga menghidupkan komuniti buku melalui pertemuan dan perkongsian santai," katanya kepada Majoriti.

6289444551307411981

Keadaan dalam kompleks tersebut yang kurang mendapat sambutan ramai.

Melihat suasana meriah di aras 2 kompleks tersebut, tidak mustahil lokasi itu bakal menjadi pusat atau tumpuan penduduk termasuk pelajar sekolah dan universiti di sekitar Kajang.

Bukan itu sahaja, SM Zakir berkata, Hentian Buku Selangor juga akan memberi peluang kepada penulis dan penjual buku untuk memasarkan karya mereka secara lebih meluas.

Aktiviti mingguan dan ruang berkumpul itu sekali gus dapat memupuk semangat dan perpaduan masyarakat yang membolehkan mereka melaksanakan aktiviti berskala besar.

Bagi peminat buku, Hentian Bas Kajang juga bakal menjadi destinasi terbaik untuk mereka mencari pelbagai jenis buku, termasuk buku-buku terpakai yang mungkin diperlukan bagi bidang profesional.

6289444551307411983

Program Hentian Buku Selangor antara usaha untuk membangunkan dan merancakkan lagi perniagaan di kompleks tersebut.

Ditambah pula lokasinya yang strategik kerana dikelilingi institusi pendidikan seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

"Walaupun Hentian Buku Selangor ini dibiayai dan diuruskan sepenuhnya oleh komuniti Pertubuhan Kota Buku Bangi yang terdiri daripada penerbit dan penjual buku, program ini juga terbuka untuk menerima saluran bantuan daripada pihak kerajaan bagi melancarkan aktiviti sampingan.

"Namun, tanpa bantuan sekalipun, kami tetap komited untuk meneruskan usaha ini demi membangunkan komuniti pencinta buku.

"Dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kajang (MPK), tempat ini bakal menjadi signature spot untuk penduduk Bangi dan sekitarnya," jelasnya.

6289444551307411982

Hentian Buku Selangor yang dilancarkan Syahredzan pada Sabtu lalu.

Sementara itu, usaha tersebut disambut baik oleh Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan yang berhajat untuk melihat perubahan baharu di lokasi berkenaan.

"Tempat ini memang sedikit sunyi, dan ada beberapa kedai sahaja yang aktif menjual. Disebabkan itu, ini menjadi permulaan kita semua untuk merancakkan lagi sektor perniagaan di Hentian Bas Kajang ini.

"Ia juga merupakan Hentian Buku Selangor pertama yang dilancarkan di kawasan Lembah Klang," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram