Penemuan spesies semut baharu di Sabah, Syscia yekzoeae sempena nama penyelidik UMS


  • Massa
  • Isnin, 23 Dis 2024

Ratu semut daripada spesies S. yekzoeae yang merupakan spesies baharu ditemui di Sabah.

SATU spesies semut baharu daripada genus Syscia ditemui di Sabah dan dinamakan sempena penghormatan kepada pensyarah kanan, Dr Yek Sze Huei (Zoe) dari Institut Biologi dan Pemuliharaan Tropika (ITBC) Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Spesies semut diberi nama Syscia yekzoeae atau S. yekzoeae yang membentuk koloninya di dalam kayu dan tanah reput ditemui ketika kerja lapangan di Hutan Simpan Kawang Papar.

UMS dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, spesies semut baharu itu juga merupakan pemangsa wajib bagi spesies semut lain.

BACA LAGI: [VIDEO] Jadi anak yatim piatu sekelip mata, 2 beradik saksi ibu bapa maut ditembak lelaki mabuk ketika sambut 'birthday' di Hatyai

BACA LAGI: Bahana batal konsert 'last minute', keputusan percubaan SPM penganjur dibongkar selagi tak 'refund' duit

3083099

Gambar menunjukkan S. yekzoeae jantan.

Katanya, ratu semutnya juga tidak dapat terbang dan mempunyai sayap kecil yang tidak berfungsi.

"Penemuan itu baru diterbitkan dalam jurnal Asian Myrmecology Disember 2024.

"Dalam penerbitan sama, dua spesies semut lain turut diterangkan iaitu Syscia sabahna dan Ooceraea magna yang kedua-duanya ditemui di Banjaran Crocker," katanya.

Menurutnya, spesies S. sabahna lebih meluas dan juga ditemui di Poring dan Tambuyukon di Taman Kinabalu dan Taman Bukit Tawau.

Kedua-duanya juga tinggal di dalam kayu dan tanah yang reput seperti S. yekzoeae.

Sementara itu, institut tersebut mempunyai sejarah panjang tentang penyelidikan semut sejak penubuhannya pada 1996 dan ia menunjukkan bahawa terdapat pelbagai jenis semut di Borneo yang masih perlu difahami.

Dr Yek dan pasukannya berkata, kerja lapangan dan penyelidikan yang kerap dapat membongkar lebih banyak spesies semut baharu di Sabah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram