Miliki sampai 60 perisa, popcorn keluaran anak Malaysia mula tembusi pasaran Jepun dan Singapura


  • Bizz
  • Rabu, 25 Dis 2024

Ummu mula menceburi bidang keusahawanan makanan selepas pandemik Covid-19.

USAHA sebuah syarikat tempatan melakukan inovasi dengan memperkenalkan bertih jagung aneka perisa membuahkan hasil apabila produk mereka kini mula mendapat permintaan untuk dieksport ke luar negara.

Pengarah Urusan Sparkles Group Sdn Bhd, Ummu Atiqah Yusof berkata, sejak mula meneroka pasaran luar pada pertengahan tahun lalu, antara negara sudah menerima kehadiran produknya ialah Jepun dan Singapura.

Ujarnya, lawatan dilakukan ke 10 negara termasuk Amerika Syarikat (AS) bagi tujuan melakukan tinjauan pasaran menyaksikan syarikatnya turut mendapat minat dan respons positif terhadap Sparkles Popcorn.

BACA LAGI: Tiga pesan guru ditemui ketika umrah jadi kekuatan Ikhlas bangunkan platform mesra Muslim

BACA LAGI: Mahu orang Sabah dapat 'vinyl' pada harga mampu milik, jurutera penyelenggara helikopter buka kedai piring hitam di Kinarut

"Kita ketika ini sedang cuba masuk ke Sri Lanka dan Australia. Tahun depan pula kita sasarkan untuk tembusi pasaran di Taiwan dan Thailand," katanya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, Ummu Atiqah berkata, antara faktor menyumbang kepada penerimaan produknya dalam kalangan pengguna adalah kepelbagaian perisa yang ditawarkan.

434591464_931620075638725_1085384420282474868_n

Sparkles Popcorn mempunyai kira-kira 60 jenis perisa. — Sparkelshq

Ujarnya, ketika ini, Sparkles Popcorn yang berpangkalan di Johor Bahru, Johor mempunyai 60 jenis perisa dengan kesemuanya turut menerima perakuan halal dan Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP).

"Sebab kita bukan peneraju pasaran. Jadi nak bersaing dengan syarikat-syarikat peneraju yang dah ada dalam pasaran memang bukan senang.

"Tetapi kita teruskan juga sebab kita tahu, kuasa membeli itu ada pada pengguna. Mereka yang boleh menentukan cita rasa masing-masing.

"Kadang-kadang pengguna ini bila dia dah bosan dengan sesuatu produk, dia akan nak ubah cita rasa mereka. Jadi, dekat situ kita nampak adanya ruang di dalam pasaran yang kita boleh penuhi," ujarnya yang juga merupakan peserta di bawah Program Market Acceleration For Export and Retail Products (MEXPRO) di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor.

Bagi pasaran domestik, Ummu berkata, selain menggunakan ejen jualan, Sparkles Popcorn kini juga sudah berada di tujuh rangkaian pasar raya antaranya AEON, ST Rosyam dan DON DON DONKI Malaysia.

Selain itu, menurutnya, bertih jagung keluarannya juga sudah menembusi beberapa pasar raya di luar negara termasuk salah satunya di Mustafa Centre di Singapura.

Ujarnya, daripada keseluruhan perisa dihasilkan, enam perisa utama yang mendapat permintaan tinggi adalah kari, karamel, salted egg, red velvet dan karamel coklat.

466106211_1094550842678980_3053316167486860734_n

Produk Sparkles Popcorn yang mula memasuki sebuah pasar raya di Singapura. — Sparkelshq

"Kita juga ada mengeluarkan popcorn perisa buah-buahan contohnya nanas dan banyak lagi.

"Sementara itu bagi di luar negara seperti di Jepun, kita ada beberapa perisa yang menarik minat mereka antaranya wasabi dan keledek," ujarnya.

Pada waktu ini, 60 peratus pendapatan jualan Sparkles Popcorn disumbang oleh pasaran domestik sementara baki 40 peratus pula adalah eksport.

Bagaimanapun, dengan langkah terbaharu yang dilakukan untuk meneroka pasaran luar, Ummu Atiqah berkata, jumlah eksportnya dijangka meningkat kepada 60 peratus bermula pada tahun depan.

Daripada pengurus acara ke usahawan makanan

Dalam pada itu, berkongsi lebih lanjut, Ummu berkata, penglibatannya dalam bidang keusahawanan berlaku secara tidak sengaja selepas syarikat pengurusan acara diusahakannya berdepan cabaran untuk kekal beroperasi semasa negara dilanda pandemik Covid-19 sekitar 2020.

"Kita waktu itu memang betul-betul zero mengenai perniagaan makanan. Kita cuma nak fikir macam mana untuk survive dan saya juga ketika itu tak buat keputusan berhentikan pekerja," ujarnya.

458186933_1040661908067874_2531539617217994916_n

Sparkles Popcorn turut memasuki pasar raya utama di Malaysia antaranya ST Rosyam. — Sparkelshq

Dengan berbekalkan mesin menggoreng bertih jagung secara langsung yang dimiliki untuk kegunaan acara, Ummu bersama pekerjanya mula menghasilkan produk makanan bermula dengan membuat tempahan berdasarkan permintaan pelanggan.

"Kemudian semakin lama permintaan itu semakin banyak. Daripada situ kita terus bina perniagaan itu termasuk dengan mula mengambil ejen jualan.

"Kemudian beli mesin sehinggalah sekarang sampai ada kilang," ujarnya yang turut menerima geran kewangan sebanyak RM200,000 daripada SME Bank untuk pengembangan perniagaan.

Dalam pada itu, Ummu mengakui bahawa seperti mana-mana perniagaan lain, cabaran untuk mengembangkan produk makanan diusahakannya itu tidaklah mudah.

Namun, menurutnya dia sebagai seorang usahawan mengambil sikap berani untuk mencuba di samping memiliki semangat untuk sentiasa mencari ilmu.

Gambar depan kilang 2024

Kilang pengeluaran produk Sparkles Popcorn di Johor Bahru. — Sparkelshq

Tambahnya, seseorang usahawan juga seharusnya yakin bahawa setiap cabaran dihadapi turut datang bersama peluang yang boleh diterokai.

"Kadang-kadang usahawan ini dia takut untuk mencuba. Sebab mana ada orang nak hadapi risiko.

"Tapi kita kena yakin setiap cabaran mesti ada rezeki. Yang penting kita berusaha," ujarnya yang turut meminta usahawan supaya sentiasa memanfaatkan sebaiknya program dan bantuan yang disediakan oleh agensi kerajaan dalam membantu mengembangkan perniagaan masing-masing. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram