SHAHIDAHYU Bakri tidak menyangka alahan buruknya terhadap kopi ketika hamil kira-kira 11 tahun lalu ternyata membawa rahmat.
Dia ketika itu terlebih dahulu bekerja di sebuah kilang kopi di Johor Bahru, Johor selama beberapa tahun sebelum mengandung anak pertamanya.
“Saya mengalami alahan buruk terhadap bau kopi dan terpaksa berhenti kerja kerana pening dan loya terlalu teruk untuk saya tangani.
“Saya tiada pilihan selain mencari kerja di tempat lain untuk membantu suami kerana kami bakal mendirikan rumah tangga.
"Ketika itulah saya melihat iklan jawatan kosong di bengkel barang kemas dan memutuskan untuk mencubanya walaupun tidak mempunyai pengalaman dalam bidang itu," kata Shahidahyu kepada StarMetro.
BACA LAGI: Tiga pesan guru ditemui ketika umrah jadi kekuatan Ikhlas bangunkan platform mesra Muslim
Pekerjaan itu melibatkan pertukangan barang kemas buatan tangan yang memerlukan dia mengendalikan alatan seperti playar, pinset dan pahat.
Shahidahyu sedang melakukan kerja pertukangan dengan beberapa bahagian kecil sebelum memasangnya menjadi barang kemas.
“Selain cincin, bos saya yang juga mentor saya mengajar saya cara membuat loket ikan.
“Loket itu terdiri daripada beberapa bahagian berbeza yang dipasang bersama untuk menjadikannya seolah-olah sedang berenang.
“Saya tidak pernah menyangka bahawa saya akan menjadi tukang emas suatu hari nanti.
"Saya cukup gembira bahawa saya dapat mempelajari kemahiran baharu," katanya.
Tambah Shahidahyu, melalui pekerjaannya, dia turut mempelajari mengenai budaya Cina termasuk maksud di sebalik simbol naga dan ikan yang membawa nasib baik dalam masyarakat.
Pada masa sama, dia juga akan berkongsi mengenai budaya Melayu dengan rakan sekerjanya.
Shahidahyu merupakan salah seorang pekerja yang paling lama berkhidmat di bengkel itu, dan dia juga kini membimbing dan melatih staf yang baru menyertai perniagaan terbabit.
Ibu kepada dua anak itu berkata, dia berharap dapat melihat lebih ramai anak muda menyertai industri kerana mereka boleh membawa idea dan inovasi baharu.
Bengkel tempat Shahidahyu bekerja itu diusahakan oleh empat beradik yang mengambil alih perniagaan daripada mendiang bapa mereka.
Perniagaan keluarga
Pemiliknya, Yuin Foo Seng berkata, perniagaan keluarga itu diserahkan kepadanya kira-kira 30 tahun lalu.
Sebelum terjun ke dunia perniagaan tersebut, Foo Seng berkata, dia terlebih dahulu bekerja dalam pekerjaan yang sama sekali berbeza.
Dari kiri: Foo Seng menjalankan perniagaan keluarga sebagai generasi kedua bersama tiga abangnya Fook Kuan, 71, Fock Heng, 69, dan Fook Yung, 64.
“Pada masa remaja saya, saya bekerja di restoran datuk sebelah ibu saya.
“Pada suatu hari, bapa saya meminta saya membantu di bengkel barang kemasnya kerana dia kekurangan pekerja. Maka bermulalah perjalanan saya dalam perniagaan emas.
"Saya belajar daripada bapa saya dan akhirnya menjadi tukang emas sepenuhnya," kata Foo Seng.
Tambahnya, bapanya mula membuka bengkel barang kemas di Pulau Pinang dan pernah berpindah beberapa kali sebelum menetap di Johor Bahru.
Foo Seng yang juga anak sulung berkata, dia terlebih dahulu menjalankan perniagaan itu bersama seorang abang, sebelum dua lagi adiknya mula menyertai perniagaan tersebut.
“Adik lelaki saya Fook Kuan, Fock Heng, Fook Yung dan saya masing-masing mengambil peranan berbeza – daripada menghasilkan barang kemas kepada menguruskan 13 pekerja dan memastikan kawalan kualiti,” kata Foo Seng.
Dalam pada itu, dia turut dia turut mengingat kembali dua tempoh cukup signifikan dalam perjalanan perniagaannya iaitu ketika kemuncak industri tersebut pada waktu sebelum 1990-an dan sewaktu krisis kewangan Asia 1997.
Antara barang kemas dihasilkan dari bengkel tukang emas milik Foo Seng.
“Ketika itu, kami mendapat banyak tempahan walaupun dalam tempoh bukan perayaan.
“Pekerja kami terpaksa bekerja lebih masa dan pada hujung minggu untuk memenuhi pesanan.
“Semasa Tahun Baharu Cina, pembeli yang merupakan pemilik kedai barang kemas akan datang ke bengkel kami untuk membeli apa sahaja stok yang ada.
“Pada waktu ini, permintaan terhadap barang kemas masih ada tetapi ia lebih semakin berkurangan sekarang.
"Kami juga tidak boleh menerima tempahan yang banyak kerana kami mempunyai jumlah pekerja yang lebih sedikit berbanding sebelum ini," katanya.
Foo Seng berkata, keluaran produk barang kemas mereka adalah untuk pasaran tempatan dan luar negara seperti Singapura dan India.
Memilih yang terbaik
Foo Seng berkata, sebelum ini, kedainya turut menghasilkan pencungkil gigi dan penyumbat telinga disediakan dalam bekas kecil dengan bahannya diperbuat daripada emas sepenuhnya.
“Ia sangat mendapat permintaan ketika itu. Kini, saya percaya kami adalah satu-satunya bengkel emas yang masih mengeluarkan barang tersebut apabila ditempah.
“Ketika ini, kami lebih banyak mengeluarkan loket emas dengan unsur-unsur seperti ikan mas, arowana dan naga yang melambangkan keberuntungan dan tuah dalam budaya Cina,” ujarnya.
Sementara itu, Foo Seng berkata, golongan belia kini rata-ratanya tidak berminat untuk menjadi tukang emas kerana ia memerlukan tenaga fizikal yang agak banyak.
Fook Kuan memproses emas menggunakan pemanas api untuk membentuknya menjadi barang kemas.
“Mereka dikehendaki duduk berjam-jam dan menggunakan tangan serta mata.
“Banyak kemahiran diperlukan untuk menghasilkan barang kemas dengan kehalusan yang rumit.
"Sebelum ini, kami mempunyai pekerja yang berhenti selepas hanya seminggu bekerja kerana tidak tahan," kongsinya yang memaklumkan bahawa anak-anaknya sendiri turut mengejar minat lain selepas menamatkan pengajian tinggi mereka.
Foo Seng bersyukur kerana terdapat dua orang anak saudaranya yang menyertai perniagaan tersebut dan belajar menjadi tukang emas.
Pada masa sama, dia mengakui bimbang mengenai masa depan industri tersebut kerana kebanyakan proses pembuatan barang kemas kini dikeluarkan dengan menggunakan mesin.
Di bengkelnya, mereka masih menggunakan peralatan milik bapanya untuk membentuk emas menjadi bentuk lebih halus untuk menghasilkan barang kemas.
“Ayah kami sentiasa ingin mewariskan kerja ini kepada anak-anaknya. Dia bekerja sehingga berumur 86 tahun.
“Saya mengambil alih perniagaan keluarga bukan untuk menjadi kaya tetapi untuk mengekalkan warisan bapa.
“Kami berhasrat untuk terus menawarkan barang kemas buatan tradisional kerana saya percaya masih ada nilai padanya,” kata Foo Seng. — The Star/YEE XIANG YUN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram