MULA dibina semasa pandemik Covid-19, perkampungan rekreasi dan ekopelancongan Kayuh D'Tonggang di Ulu Kinta, Ipoh di Perak tumbuh sebagai satu projek komuniti yang diterajui oleh Pusat Alam Sekitar Global (GEC).
Sejak dimulakan, projek di Kampung Orang Asli Sungai Tonggang berjaya menarik ramai pengunjung ke kampung tersebut.
Terletak di sepanjang Sungai Seno'oi yang indah, inisiatif ekopelancongan itu dikendalikan penduduk kampung dengan bantuan daripada pertubuhan tidak berasaskan keuntungan, kata pengarah GEC, Faisal Parish.
BACA LAGI: Tiga pesan guru ditemui ketika umrah jadi kekuatan Ikhlas bangunkan platform mesra Muslim
GEC, katanya, mempunyai pengalaman lebih 25 tahun bekerja dengan komuniti dalam penjagaan sungai, kawasan hutan dan pantai serta pengurusan tanah gambut.
Menghulurkan bantuan
Mula ditubuhkan pada 1998, GEC memainkan peranan untuk memantau isu alam sekitar yang mempunyai kepentingan global di samping mempromosikan penyelesaian berasaskan pemuliharaan alam semula jadi.
Ia turut melihat pengurusan holistik dan bersepadu bagi hutan, tanah gambut, sungai dan ekosistem pantai untuk mengurangkan kerentanan kepada perubahan iklim dan bencana.
Untuk melakukan ini, GEC menyokong penyertaan pihak berkepentingan dalam pengurusan sumber asli yang mapan melibatkan penjagaan alam sekitar.
Norazizan berkata, KRT Kelebang Selatan menjual hampir 100,000 botol kerepek bagi tempoh tiga tahun lepas.
Selain bekerjasama dengan masyarakat tempatan termasuk Orang Asli, organisasi itu juga bekerjasama dengan syarikat lain yang berfikiran sama untuk menjayakan projeknya.
Menurut Faisal, projek ekopelancongan dan pemeliharaan sungai Kayuh D'Tonggang yang sudah berlangsung selama enam tahun menelan belanja RM5 juta dan dibiayai oleh Yayasan Khazanah.
“GEC melihat Orang Asli sebagai penjaga hutan. Mereka berminat untuk menjana pendapatan dari kampung mereka semasa pandemik Covid-19 dan meminta bantuan kami.
“Aktiviti ekopelancongan kini berlangsung di Sungai Seno'oi,” ujarnya.
Beliau berkata, projek dilaksanakan itu antara lain adalah bagi memastikan penduduk kampung memanfaatkan pengetahuan dan tradisi mereka untuk mencari rezeki.
“Menerusi projek itu, Orang Asli boleh mempamerkan kampung, budaya dan warisan mereka sambil memelihara sungai yang menjadi sumber makanan mereka,” katanya sambil menambah bahawa GEC perlu bekerja keras untuk membina kepercayaan dengan penduduk kampung sebelum melaksanakan projek itu.
"Mereka sering bertanyakan mengenai motif kumpulan kami bekerja dengan mereka dan sama ada kami berada di sana untuk mencuri tanah mereka.
“Apabila kita pergi ke sana untuk melakukan kerja lapangan, mereka menjadi semakin berhati-hati.
"Kami perlu membina kepercayaan dengan masyarakat sebelum mereka yakin kami mahu membantu," kata Faisal.
Memperkasakan penduduk kampung
Ketua Kampung yang juga Tok Batin Kampung Orang Asli Sungai Tonggang Tok Batin, Che Wan Alang menzahirkan penghargaannya terhadap panduan yang diberikan GEC untuk membantu masyarakat Temiar mencari rezeki.
“Kami mula mengenali GEC pada 2019. Belia kami terlibat dalam penanaman buluh bersama mereka. Pada 2021, kami menubuhkan inisiatif ekopelancongan Kayuh D'Tonggang dan mengenal pasti laluan berbasikal gunung sepanjang 6.86 kilometer (km).
“Laluan itu memberikan penunggang basikal pemandangan gunung, bandar, air terjun dan juga sungai. Aktiviti lain untuk pengunjung termasuk mandi sungai, mendaki dan berjalan di atas jambatan gantung serta melihat periuk kera dan teknik memburu.
“Belia kami terlibat dalam menguruskan aktiviti di sini dan menjadi jurucakap kami. Mereka mencari rezeki daripada aktiviti ini dan tidak perlu keluar kampung,” kata Che Wan.
Penjaga taman komuniti Shahfawi Hassan (kiri) dan Karim Din memeriksa daun sawi dan bayam yang ditanam melalui kaedah hidroponik.
Seorang penduduk kampung, Kamisah Uri Anjang, 41, bertugas sebagai tukang masak yang menyediakan makanan untuk tetamu yang menempah pakej ekopelancongan.
“50 peratus bahan yang digunakan untuk makanan datang dari kampung kami manakala selebihnya diperoleh dari bandar.
“Melalui inisiatif ekopelancongan, kami dapat memperkenalkan makanan yang kami makan seperti pucuk ubi, pucuk pakis dan ikan air tawar kepada tetamu,” kata Kamisah, yang merupakan menjadi suri rumah sepenuh masa yang kini turut menambah pendapatan keluarganya menerusi kerja dilakukan itu.
Kamisah berkata, kejayaan untuk mendapatkan pendapatan daripada aktiviti ekopelancongan membuatkannya berasa lebih yakin dan dihargai.
"Kebanyakan wanita di kampung tidak pernah memperoleh pendapatan sebelum ini.
“Kami bersyukur kerana diberi peluang menjana pendapatan dan bekerja dari kampung kami.
"Malah wanita muda membantu kami mendapatkan barangan dan mereka juga boleh memperoleh wang tambahan, terima kasih kepada ekopelancongan," ujarnya.
Aktiviti lain yang diadakan di kampung itu termasuk persembahan kebudayaan dan bengkel kraf.
Sungai Seno’oi dijaga Orang Asli dan merupakan tarikan ekopelancongan utama bagi projek Kayuh D’Tonggang di Ulu Kinta.
Kampung itu telah dikunjungi oleh penduduk daripada 53 komuniti dari seluruh negara dan dua kumpulan dari Indonesia sejak projek ekopelancongan terbabit dimulakan.
Komuniti tersebut adalah sebahagian daripada Rangkaian Komuniti GEC (JKGEC) yang mana Kampung Orang Asli Sungai Tonggang turut merupakan sebahagian daripada rangkaian berkenaan.
Faisal berkata, perkongsian amalan terbaik dalam kalangan kumpulan budaya yang berbeza adalah cara terbaik untuk pembangunan dan kemajuan komuniti.
“Kami sentiasa mengambil pendekatan 'bottom up' (dari bawah ke atas) dengan bertanya kepada masyarakat apa yang diperlukan.
“Kemudian kami membantu mereka mencipta program yang mereka minati.
“Untuk sesuatu aktiviti itu berjaya, ia juga biasanya memakan masa yang panjang.
"Kami membantu mereka membina projek dan mereka akhirnya mengambil alih dan mengajar penduduk kampung lain untuk meneruskan program itu," katanya.
Selain projek ekopelancongan Kayuh D'Tonggang, program sokongan GEC lain yang menunjukkan hasil yang baik ialah industri rumah inap desa dan taman komuniti.
Komuniti lain
Kumpulan JKGEC turut melakukan lawatan Rukun Tetangga (KSRT) Kelebang Selatan, di Perak.
Kejiranan yang mempunyai 300 rumah itu mempunyai penduduk berbilang kaum seramai 3,500 orang terdiri daripada Melayu, Cina dan India.
Kelas memasak dijalankan untuk pengunjung di balai raya Taman Chemor Idaman di Chemor.
Sementara itu, Pengerusi RT Kelebang Selatan, Salehuddin Hussain berkata, antara aktiviti dianjurkan untuk pengunjung adalah pengurusan penjagaan sungai.
Beliau berkata, GEC juga telah membantu KSRT memulakan projek taman komuniti dan industri rumah inap desanya.
“Kami mempunyai beberapa pesara yang membantu di taman komuniti kami. Mereka juga menjual minuman tebu dan kerepek.
“Mesin untuk mengeluarkan tebu dan menghiris ubi kayu untuk kerepek diberikan oleh GEC.
“Kami menerima banyak tempahan kerepek sebelum musim perayaan seperti Hari Raya,” tambah Salehuddin.
Seorang pesara, Norazizan Zainal Abidin, 64, berkata, sebanyak 100,000 balang kerepek telah dijual sejak tiga tahun lalu.
“Kami membuat kira-kira 300 balang sebulan, bergantung kepada tempahan.
"Keuntungan dibahagikan antara kami, dan terima kasih kepada projek ini, kami mempunyai pendapatan sampingan tambahan," katanya.
Taman Chemor Idaman di Chemor merupakan satu lagi lokasi yang mendapat sentuhan tunjuk ajar daripada ahli JKGEC.
Penduduk tempatan menunjukkan teknik memburu kepada pengunjung di perkampungan rekreasi dan ekopelancongan Kayuhan D’Tonggang di Ulu Kinta.
Penduduk terlibat dalam taman komuniti yang mana sayur-sayuran seperti terung, bendi dan tanaman berdaun tumbuh subur.
Mereka menggunakan pertanian semula jadi dan menghasilkan baja organik untuk taman komuniti.
Bagi memupuk semangat setia kawan, wanita kejiranan turut menganjurkan kelas memasak untuk penduduk mempelajari resipi baharu khususnya melibatkan sayur-sayuran.
Dalam pada itu, Pengerusi Rukun Tetangga Taman Chemor Idaman, Karim Din Mohd Ismail berkata, penduduk tempatan turut dididik menjaga sungai dengan menggunakan peta panduan yang dipasang di kawasan kejiranan.
“Kami mempunyai papan tanda alamat sungai di pintu masuk taman komuniti.
“Ini adalah papan pendidikan untuk orang ramai belajar bagaimana sungai bersambung.
“Sebagai contoh, Sungai Kuang bersambung dengan Sungai Chemor, Sungai Pari, Sungai Kinta, Sungai Perak dan akhirnya Selat Melaka.
"Papan alamat sungai mempunyai kod QR untuk orang ramai mengimbas dan mengetahui lebih lanjut tentang aliran air kami," kata Karim.
Dalam pada itu, menerusi kunjungan JKGEC, mereka turut mengadakan bengkel pengkomposan yang mengajar teknik terbaik untuk kitar semula bahan organik bagi baja. — The Star/SHEILA SRI PRIYA
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram