JENAMA rangkaian kopi terbesar dari Korea Selatan, Ediya Coffee, secara rasmi membuka cawangan pertamanya di Malaysia yang bertempat di Elmina Lakeside, Shah Alam, Selangor.
Malaysia merupakan negara kedua yang menerima kehadiran jenama tersebut selepas mereka buat pertama kalinya membuka cawangan luar negara pertamanya di Guam pada tahun lalu.
Diasaskan pada 2001, Ediya Coffee mempunyai lebih daripada 3,000 cawangan di Korea Selatan.
BACA LAGI: Tiga pesan guru ditemui ketika umrah jadi kekuatan Ikhlas bangunkan platform mesra Muslim
Ketua Pegawai Eksekutif Coffee Malaysia, Mohd Hafiz Ab Rahim berkata, pihaknya menyasarkan untuk membuka 200 buah kedai kopi dalam tempoh lima tahun akan datang.
Ujarnya, pengembangan perniagaan jenama tersebut yang akan dilakukan dengan menggunakan konsep francais dijangka mula dilaksanakan menjelang suku kedua tahun depan.
Cawangan pertama Ediya Coffee dilancarkan Tengku Zafrul (lima dari kiri).
"Kita sasar dalam masa lima tahun, Ediya Coffee mampu menjadi nombor satu di Malaysia," katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian pembukaan cawangan pertama kedai kopi pada Khamis.
Majlis perasmian turut dihadiri oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Pengerusi Ediya Coffee, Chang-Ki Moon.
Dalam pada itu, Mohd Hafiz berkata, beliau optimis terhadap keupayaan jenama tersebut untuk diterima oleh pasaran penggemar kopi di Malaysia.
Ujarnya, selain menawarkan kualiti biji premium diproses dari Korea Selatan, hidangan menu disesuaikan dengan cita rasa pasaran tempatan.
Antara staf yang bertugas di cawangan pertama Ediya Coffee di Elmina Lakeside, Shah Alam.
Selain itu, beliau berkata, keyakinan itu turut disokong dengan pengalaman yang dimiliki oleh Ediya Coffee untuk berkembang dengan baik di Korea Selatan dalam tempoh lebih dua dekad.
"Kita ada satu penanda aras di Korea Selatan yang menunjukkan bagaimana ia boleh jadi nombor satu di negara tersebut.
"Satu strategi yang sangat jelas adalah konsep francais yang dijalankan mereka yang turut membuka banyak peluang perniagaan kepada rakyat Malaysia.
"Jadi kita yakin dengan keseluruhan sistem francais yang dilakukan Ediya Coffee di Korea Selatan akan juga boleh dilaksanakan di Malaysia dan mampu menjadikan kita nombor satu," ujarnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Ediya Coffee Malaysia, Mohd Hafiz Ab Rahim
Sementara itu, Mohd Hafiz berkata, langkah pengembangan Ediya Coffee yang dijalankan menerusi sistem francais dijalankan mengikut penilaian teliti khususnya untuk menjaga jenama dan kualiti rangkaian kopi tersebut.
"Setiap rangkaian yang dibuka kita akan diselarikan dengan strategi Ediya Coffee.
"Kita akan nilai kesemuanya termasuk lokasi, populasi dan cita rasa pasaran di tempat tersebut.
"Kemudian baru kita reka bentuk cawangan spesifik mengikut keperluannya," ujar Mohd Hafiz.
Dalam pada itu, mengulas mengenai strateginya untuk menembusi pasaran tempatan, Mohd Hafiz berkata, Ediya Coffee Malaysia kini turut sedang dalam rencana memperkenalkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam penyediaan hidangan kopi menerusi penggunaan robot tangan di kiosnya yang bakal dibuka.
Ujarnya, penggunaan teknologi terbabit kini sedang dalam fasa percubaan dan dijangka mula diperkenalkan antara Februari atau Mac tahun depan.
Antara barista yang bertugas menyediakan minuman kopi di Ediya Coffee Elmina Lakeside.
"Jadi robot itu akan membuat kopi kurang daripada satu minit dengan ketetapan bahan dan kualiti kopi yang tidak berubah.
"Ini antara strategi yang kita akan ketengahkan untuk memastikan kita ada sesuatu yang berbeza daripada orang lain.
"Kerana kita bukan sekadar menjual kopi. Tapi sistem rangkaian kita pun ada teknologi yang boleh digunakan di dalam pasaran," ujarnya.
Dalam pada itu, sebagai sebahagian daripada usaha bagi mewujudkan peluang Pendidikan dan Latihan
Teknikal dan Vokasional(TVET) di Malaysia, pihaknya kini turut sedang berbincang dengan Ediya Coffee di Korea Selatan.
Ujarnya, pusat latihan tersebut antara lain akan berfungsi untuk menghasilkan barisan barista, pengurus yang bakal menguruskan rangkaian Ediya Coffee di Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram