Inisiatif murni digerakkan anak Kota Bharu bantu perusahaan simpanan lokar di Osaka


  • Bizz
  • Isnin, 23 Dis 2024

Jack akan membersihkan lokar diuruskannya seminggu sekali.

INISIATIF seorang pemuda menyediakan lokar serba guna percuma di Osaka, Jepun bagi pelancong dari Malaysia bukan sahaja mendapat respons positif daripada pengguna, malah turut menarik perhatian pemilik pusat simpanan barangan tersebut yang merupakan warga Jepun.

Ini selepas setahun menyewa dan mengoperasikan satu unit lokar dikenali sebagai 'Halal Food Locker Osaka', pemilik tempat terbabit kemudiannya berbesar hati memberikan tiga unit lokar bagi digunakan secara percuma untuk tujuan tersebut.

'Halal Food Locker Osaka' digerakkan oleh Jack S Adli, 40 yang merupakan rakyat Malaysia yang berkhidmat sebagai pemandu pelancong di Negara Matahari Terbit tersebut sejak 2014

BACA LAGI: Cuma guna tulang ayam, artis muda Malaysia bijak hasilkan pameran seakan-akan tapak arkeologi di ibu negara

BACA LAGI: [VIDEO] 'Berlarilah dengan senyuman', sakit kanser tahap 4 tidak halang Cikgu E sertai maraton, syukur miliki anak isteri penguat semangat

Inisiatif dijalankan sejak 2018 bertujuan antara lain bagi menyediakan ruang simpanan makanan dan barangan kepada pelancong, pelajar serta pekerja warga Malaysia di bandar tersebut.

Bermula dengan satu unit lokar kecil, Jack yang juga anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan membayar sewa sebanyak 1,000 yen (RM480) sebulan pada tahun pertama.

Bagaimanapun, selepas setahun mengoperasikan lokar berkenaan, usaha itu ternyata menarik minat pemilik pusat simpanan terbabit iaitu Daikoku Locker yang kagum terhadap kebersamaan ditunjukkan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Disebabkan itu, Jack kemudiannya diberikan sebanyak tiga unit lokar bagi digunakan untuk inisiatif berkenaan.

WhatsApp Image 2024-12-19 at 20.58.52

Lokar pertama yang disediakan Jack pada 2018.

"Pada awalnya, saya beritahu dia (pemilik) yang lokar ini saya nak jadikan 'Halal Food locker' untuk sesiapa sahaja yang memerlukannya secara percuma.

"Saya juga nyatakan ramai pelancong dari Malaysia akan datang dan turut menggunakan perkhidmatan yang dia jalankan.

"Kemudian lepas dah setahun, pelancong Malaysia semakin ramai dan Daikoku Locker sangat dikenali. Jadi pemilik tawarkan untuk guna tiga lokar secara percuma untuk saya meneruskan usaha ini.

"Dia cakap dia suka lihat cara kita sokong sesama rakyat Malaysia dan dia juga gembira rakyat Malaysia ramai sokong dia," kongsi Jack kepada Majoriti.

Pada waktu ini, tiga lokar dikendalikan Jack setiap satunya digunakan untuk tiga kategori barangan iaitu pertama, penyimpanan makanan halal, kedua bagi peralatan elektrik seperti periuk nasi dan seterika baju serta terakhir peralatan menunaikan solat seperti sejadah, tikar serta kerusi lipat.

Tidak cukup dengan itu, pemilik turut menyediakan satu ruangan di tingkat tiga bangunan terbabit bagi dijadikan sebagai ruangan solat.

WhatsApp Image 2024-12-19 at 20.59.29

Antara barangan makanan yang disimpan di lokar terbaharu yang disewakan secara percuma oleh pemilik bagi kegunaan Jack.

Bercerita lanjut, Jack berkata, idea untuk menjalankan usaha tersebut pada awalnya timbul selepas dia melihat ramai pelancong terpaksa meninggalkan makanan halal yang tidak dihabiskan sepanjang percutian mereka sebelum pulang ke Malaysia.

"Ramai yang membawa bekalan makanan dari Malaysia yang mereka tidak sempat dihabiskan, mereka tidak tahu di mana hendak diletakkan.

"Ada yang tinggalkan di homestay atau hotel. Jadi, saya terfikir kenapa tidak saya sediakan satu tempat untuk mereka tinggalkan bahan makanan tersebut untuk kegunaan orang lain yang berkunjung ke Osaka termasuk mereka yang bekerja atau belajar di sini," ujarnya.

Jack berkata, bagi yang mahu menggunakan perkhidmatan tersebut, mereka hanya perlu mengambil kunci daripada penjaga di kaunter dan meletakkan barangan mereka di lokar disediakan.

Dia yang juga penulis buku panduan melancong Road To Japan berkata, dia akan membersihkan kesemua lokar disediakan itu sekali seminggu.

WhatsApp Image 2024-12-19 at 20.59.09

Ruangan solat yang disediakan di Daikoku Locker.

Katanya, penggunaan lokar berkenaan biasanya akan meningkat antara November hingga Februari setiap tahun atau ketika musim cuti sekolah panjang di Malaysia.

Dalam pada itu, Jack berkata, setakat ini, dia masih belum berdepan sebarang masalah besar sepanjang mengendalikan lokar berkenaan.

"Ada yang menjadikan lokar ini tempat mereka tinggalkan barangan (sampah) yang tidak mahu di bawa pulang ke Malaysia

"Ada juga yang mengambil seterika atau periuk nasi untuk di gunakan dan tidak pulangkan semula

"Tapi bagi saya isu itu tak berapa besar sebab kalau hilang saya cuma beli balik.

"Kemudian, makanan yang disimpan juga akan sentiasa bertukar tukar. Jadi memang tak akan berlaku lambakan makanan," katanya.

Menurut Jack, tiga unit lokar yang dikendalikannya ketika ini adalah sudah mencukupi untuk menampung keperluan simpanan.

"Cuma peralatan yang perlu saya tambah mungkin seperti seterika. Daripada lima unit yang saya ada, saya cuba nak tambah jadi 15.

"Periuk nasi pun sama. Sekarang ini ada satu. Mungkin nak tambah sampai jadi tiga," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram