'Jangan takut gagal', remaja 16 tahun gigih tulis, sampaikan 101 ucapan berani cabar potensi diri


  • Massa
  • Isnin, 14 Okt 2024

Tanusya tidak takut untuk menonjolkan potensi dirinya sehingga dapat mencapai pelbagai anugerah.

DENGAN berbaki setahun lagi sebelum menamatkan pendidikan menengahnya, Tanusya Manimuttu bertekad untuk memanfaatkan sepenuhnya waktu yang dimilikinya.

Tidak mahu membuang masa, pelajar Tingkatan Empat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damansara Utama, Petaling Jaya, Selangor itu mampu menonjolkan kebolehannya dalam memberi ucapan.

Baru-baru ini, Tanusya meraih kejayaannya menulis dan menyampaikan sebanyak 101 teks ucapan sehingga membolehkannya mendapat pengiktirafan Asia Book of Records (ABR) dan Malaysia Book of Record (MBR).

BACA LAGI: [VIIDEO] 'Haikal rindu, pulanglah mak', pelajar UPM kuatkan semangat rayu kepulangan ibu lepas ditinggal sejak usia 2 bulan

BACA LAGI: Data adalah 'minyak' baharu, menteri saran guru dan pendidik kuasai teknologi terkini termasuk AI

1722684085535

Tanusya (kanan) antara penerima pengiktirafan daripada MBR. — Tanusya

Pada 31 Mei lalu, remaja berusia 16 tahun itu berhasil memecahkan rekod ABR dengan menyampaikan 'ucapan terbanyak yang ditulis sendiri oleh remaja' dalam tempoh dua jam, 49 minit dan 54 milisaat.

Tanusya kemudiannya menerima pengiktirafan daripada MBR bagi pencapaian yang sama pada 29 Julai lalu.

Bermula daripada perbualan santai bersama rakan, Tanusya mendapat ilham untuk melakukan sesuatu lebih bermakna sebelum meninggalkan zaman persekolahannya.

Mempunyai minat mendalam terhadap penulisan dan pengucapan awam sejak kecil, Tanusya memulakan langkah memberi ucapan kepada para pendidik sempena Hari Guru pada waktu itu.

Tanusya juga meneruskan impiannya mencipta rekod secara individu apabila mendapat galakkan dan sokongan daripada keluarganya.

Mengingat kembali kemenangannya itu, dia masih tidak dapat menyangka mempunyai kemampuan dalam mencapai impiannya.

"Ia mengingatkan saya kepada petikan Franklin D. Roosevelt, 'Satu-satunya had untuk merealisasikan hari esok adalah keraguan kita tentang hari ini.

"Idea itu mengalir dengan mudah. Saya menulis tentang semua pendidik yang saya jumpa, dari guru tadika hingga guru sekolah menengah, jurulatih pertandingan, guru muzik dan ramai lagi," katanya.

Tanusya juga memilih pendekatan untuk menulis ucapan berdasarkan pengalaman sendiri yang ternyata menjadi formula kepada kejayaannya.

Screenshot (148)

Tanusya juga menerima pengiktirafan ABR ketika usianya 15 tahun. — ABR

Untuk mencapai matlamat 101 ucapan, Tanusya menghasilkan 50 tema dengan setiap tema terdiri daripada dua ucapan kecuali tema terakhir yang mempunyai tiga ucapan sebagai rangkuman ucapannya.

"Tema-tema itu dipilih untuk menggambarkan impak guru terhadap pelajar. Antara judulnya termasuk The Transformative Power of Education, A Ripple Effect, Impressive Guidance dan Supporting Student Well-being.

"Namun begitu, perjalanan ini juga ada cabarannya. Cabaran pertama adalah untuk menyelaraskan jenis guru dengan topik yang relevan.

"Sebagai contoh, ada guru yang mengajar sains dan juga menjadi jurulatih pertandingan, jadi saya perlu berhati-hati membahagikan kandungan untuk memastikan ketepatannya.

"Cabaran kedua pula adalah menyampaikan ucapan tanpa henti selama hampir tiga jam. Saya berucap di perpustakaan sekolah dan disaksikan oleh guru-guru, rakan-rakan dan juruvideo rasmi.

"Sepanjang ucapan, tekak saya kering dan mata mula berair, tetapi saya terus mengingatkan diri saya untuk teruskan perjuangan ini. Jika saya berhenti, saya terpaksa memulakan semula. Mujurlah, saya berjaya pada percubaan pertama," kongsinya.

Melalui pengalaman itu, Tanusya dapat mempelajari betapa pentingnya menjadi seseorang yang sistematik.

Menyediakan peta konsep yang terperinci membantunya membuat keputusan dengan lebih baik.

"Saya dapat belajar betapa bernilainya kegigihan dan ketahanan dalam menghadapi cabaran ketika berucap.

"Ini mengingatkan saya pada waktu tadika apabila saya menulis surat tentang watak Disney iaitu Olaf (orang salji) ketika Krismas dan menghantar belon berharap agar pesawat MH370 yang hilang ketika itu kembali dalam keadaan selamat.

"Kemudian, saya mula menulis ringkasan cerita dalam program Nadi Ilmu Amalan Membaca (Nilam) di sekolah sekali gus mencetuskan minat terhadap pengucapan awam dan pidato," jelasnya.

Screenshot (147)

Tanusya yang lancar berbahasa Inggeris ketika melakukan pengucapan awam atau pidato. — Agensi

Tanusya tanpa sedar juga pernah menyumbangkan karya penulisan dan lukisannya kepada StarChild untuk penerbitan The Star untuk menggalakkan pembaca muda lain berkongsi idea kreatif mereka.

Ceritanya lagi, dia mula aktif menyertai pelbagai pertandingan dalam pengucapan awam berbahasa Inggeris pertamanya seawal usia 10 tahun.

Hasil usahanya itu, dia berjaya merangkul anugerah di peringkat sekolah, kebangsaan dan antarabangsa dalam kategori bercerita, pengucapan awam, menulis karangan dan ulasan buku.

Anak kelahiran Selangor itu juga tidak lupa menghargai jasa ibu bapanya yang menjadi tonggak sokongan sepanjang perjalanannya.

"Mereka selalu beri pandangan yang berharga dan membantu saya melihat sesuatu dari perspektif yang berbeza," luahnya.

Tanusya di samping itu sempat melahirkan rasa terima kasihnya kepada pihak pengurusan sekolah dan guru yang memainkan peranan penting untuk membantunya mencapai kejayaan tersebut.

Dia kini memberi sepenuhnya tumpuan untuk mencapai Anugerah Pandu Permaisuri dalam Kelab Pandu Puteri.

"Ia memerlukan banyak masa dan kemahiran yang tinggi, tetapi juga menawarkan peluang pembelajaran yang luas.

"Saya tidak pernah terfikir akan berada di tahap ini, namun saya mengambil langkah berani dan ia membuahkan hasil.

"Beranilah, ambil lompatan keyakinan itu dan jangan takut terhadap kegagalan. Ini kerana kegagalan adalah kunci kejayaan.

"Tidak kira apa yang anda lakukan, nikmati perjalanan anda dan sentiasa berikan yang terbaik," ujarnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram