SATU kemalangan melibatkan sebuah lori minyak dan tiga buah kereta di Lebuhraya Utara-Selatan menyebabkan kesemua lorong menghala ke Utara tertutup sehingga mengakibatkan kesesakan lalu lintas sejauh lima kilometer (km) pada Ahad.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) di akaun X, kemalangan dilaporkan terjadi sekitar pukul 5.52 petang di Kilometer 264.4 sekitar Ipoh, Perak.
Berdasarkan kepingan foto dimuat naik di media sosial, lori tersebut difahamkan terbabas dan melintang di jalan raya dengan kesesakan berlaku di laluan antara Ipoh dan Terowong Menora.
BACA LAGI: [VIDEO] Pelumba 'drag race' maut kemalangan di Sandakan, acara perlumbaan ditangguh serta-merta
BACA LAGI: Polis bantuan TNB maut, kereta bertembung 4X4 terlibat kemalangan dengan 9 ekor lembu
PLUS turut menasihatkan penunggang motosikal supaya mematuhi papan tanda lalu lintas selain menggunakan laluan alternatif bagi mengelak tersekat dalam kesesakan tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, lori minyak tersebut tergelincir dari laluan sehingga mengakibatkannya menghalang kesemua lorong.
"Kemalangan tidak mengakibatkan sebarang kecelakaan dan pemandu lori berusia 46 tahun tidak mengalami kecederaan serius. Semua lorong telah ditutup buat masa ini bagi memudahkan operasi mengalihkan kenderaan,” katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram