‘Hamburg jadi Hamburger’, petugas DBP kongsi asam garam ajar bahasa Melayu pada warga asing


  • Massa
  • Rabu, 18 Dis 2024

Nelawati (kanan) yang sehingga kini masih bertugas sebagai pengajar bahasa Melayu pada warga asing.

BAHASA merupakan alat atau medium komnikasi yang digunakan oleh manusia untuk menyampaikan idea, perasaan, maklumat serta pendapat.

Sebagai medium penghubung, bahasa memainkan peranan penting dalam menjalin hubungan sosial, menyampaikan ilmu dan perkembangan budaya serta tamadun.

Justeru, setiap individu digalakkan untuk mempelajari atau mencari ilmu pengetahuan tentang bahasa.

BACA LAGI: Rasai ribut daki Kinabalu, gangguan mistik di Nuang dan bertemu jodoh rakan hikers antara pahit manis Hamizah tawan puncak gunung

BACA LAGI: 'Sekurang-kurangnya kena ada bakat', pelajar perlu lepas 'audition' untuk belajar muzik di UiTM

WhatsApp Image 2024-12-17 at 14.25.24

Pengalaman Nelawati di China banyak mengajarnya tentang kepentingan menggunakan bahasa dengan tepat untuk menyampaikan mesej.

Begitu juga dengan Nelawati Ngadul, 59, yang merupakan petugas di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berkhidmat selama 43 tahun.

Sepanjang kerjayanya, Nelawati tidak hanya terlibat dalam tugas-tugas berkaitan pengembangan bahasa kebangsaan, malah diberi peluang bekerjasama dengan syarikat antarabangsa seperti Radio Antarabangsa China (CRI) di Beijing pada 2011 hingga 2014.

Mula bertugas di cawangan Sabah pada 1990 hingga 2010 sebelum dihantar ke China pada 2011, Nelawati berkata, pelbagai tugas yang dilakukannya iaitu melibatkan penerbitan, penyuntingan, dan pendidikan.

Menurutnya, bertugas di CRI merupakan satu langkah dan perubahan besar dalam kerjayanya.

WhatsApp Image 2024-12-17 at 14.24.59

Bahasa antara medium penting dalam menjayakan komunikasi dua hala. Gambar hiasan

Radio Antarabahasa China, atau lebih dikenali sebagai CRI, merupakan stesen radio antarabangsa yang menyiarkan berita dan maklumat dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Melayu.

Katanya, CRI mempunyai 72 bahasa digunakan di seluruh dunia dan Malaysia termasuk antara negara yang mempunyai bahasa Melayu sebagai sebahagian daripada siarannya.

Sebagai penyunting di CRI, Nelawati bertanggungjawab untuk menyunting berita dan skrip yang diterjemahkan daripada bahasa Mandarin ke bahasa Melayu.

Nelawati juga mengajar bahasa Melayu kepada pekerja tempatan yang kebanyakannya tidak berpengalaman dalam menggunakan bahasa Melayu secara lisan.

Cabaran dan budaya di China

Nelawati turut berkesempatan untuk berkongsi beberapa pengalaman menarik sepanjang bertugas di China.

Sebagai negara yang memiliki budaya yang sangat berbeza dengan Malaysia, Nelawati terpaksa menyesuaikan diri dengan cara hidup yang baharu.

Antara cabaran yang dihadapi adalah ketika mahu menyesuaikan diri dengan budaya makan di negara itu.

WhatsApp Image 2024-12-17 at 14.25.30

Nelawati yang berpengalaman dalam bidang komunikasi dan bahasa sejak 1990 sehingga kini.

"Bulan pertama saya di sana, saya terpaksa belajar makan menggunakan penyepit atau chopstick.

"Mereka di sana ketika itu memang tak sediakan sudu atau garfu. Kalau makan makanan berkuah seperti sup, mereka biasanya akan menghirupnya terus dari mangkuk.

"Nak cari kopi pun susah sebab mereka lebih gemar minum teh. Kalau kopi pada waktu itu hanya golongan elit yang mampu beli," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2024-12-17 at 14.25.45

Terdapat jurang perbezaan antara budaya di China dan Malaysia.

Nelawati pada masa sama mengimbau kembali pengalaman lucu ketika mengajar staf tempatan menggunakan bahasa Melayu.

"Seingat saya ia berlaku pada 2013 yang mana mereka perlu tulis skrip berita tentang mesyuarat persidangan di Hamburg, Jerman.

"Tetapi, mereka terjemahkannya jadi 'mesyuarat Hamburger'. Jadi, saya pun betulkan semula.

"Lagi lucu bila esoknya mereka buat perkara sama sampai saya tak boleh tahan gelak.

"Mungkin dalam fikiran mereka Hamburg itu adalah Hamburger yang bermaksud burger iaitu makanan," ceritanya.

WhatsApp Image 2024-12-17 at 14.25.53

Antara pelajar warga asing yang diajar oleh Nelawati.

Peristiwa itu secara tidak langsung memberi gambaran tentang bagaimana terjemahan yang salah boleh berlaku disebabkan kekeliruan budaya dan bahasa.

Setelah pulang ke Malaysia pada akhir 2014, Nelawati dipindahkan pula ke Akademi Dewan Bahasa dan Pustaka pada 2023 sehingga sekarang untuk mengajar bahasa Melayu kepada warga asing.

Baginya, mengajar bahasa Melayu kepada warga asing adalah satu pengalaman yang sangat memuaskan meskipun terdapat cabaran tersendiri terutama dalam aspek penulisan dan dialek.

"Saya suka mengajar sebab dulu pernah jadi cikgu dan pernah mengajar bahasa Melayu dalam satu jabatan kerajaan.

"Jadi, saya seronok bila dapat mengajar lebih-lebih lagi kepada warga asing antaranya dari Turkiye, Papua New Guinea, Filipina dan Yemen.

"Daripada itu, saya juga dapat belajar sebenarnya ada beberapa perkataan bahasa Melayu yang sama dengan mereka,' jelasnya.

Katanya, mengajar bahasa Melayu bukan hanya tentang menguasai tatabahasa tetapi juga memahami budaya di sebalik bahasa tersebut.

Nelawati juga percaya bahawa walaupun bahasa Inggeris semakin diterima secara meluas, bahasa Melayu harus tetap dihormati dan digunakan dengan betul.

Dia turut mengingatkan masyarakat Malaysia agar sentiasa berusaha memartabatkan bahasa Melayu bukan hanya sebagai bahasa rasmi, tetapi juga sebagai bahasa pengantara dengan bangga dan tepat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram