MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) sekali lagi menggesa pelakon terkenal, Rozita Che Wan, atau lebih dikenali sebagai Che Ta untuk hadir berbincang dengan pihak agensi berkenaan mengenai tunggakan bayaran pinjaman hampir RM1 juta yang diperoleh oleh syarikat milik selebriti tersebut.
Memetik laporan Harian Metro, Pengerusinya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, prosedur pemfailan kebankrapan diteruskan berikutan kegagalan pelakon berkenaan melunaskan hutang dalam tempoh tujuh tahun.
Asyraf Wajdi berkata, tindakan kebankrapan kali ini hanya akan dihentikan jika Rozita membayar sepenuhnya pinjaman itu susulan MARA tidak lagi memberi lanjutan tempoh pembayaran hutang selepas mahkamah membuat keputusan muktamad mengenainya.
BACA LAGI: [VIDEO] Pelumba 'drag race' maut kemalangan di Sandakan, acara perlumbaan ditangguh serta-merta
Difahamkan, pelakon itu masih belum tampil bertemu MARA untuk berbincang mengenai penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman berjumlah RM960,000 dibuat syarikat milik selebriti itu, RCW Worldwide Sdn Bhd.
"Ini bukan tindakan mahkamah kali pertama dikenakan terhadap Che Ta, masuk ini sudah kali kedua dan sekarang ini yang paling penting datanglah kepada MARA dan bincang.
"Sekarang, paling penting juga, pelakon itu perlu bayar balik pinjaman yang dibuat sebab hutang ini sudah berlarutan sejak tahun 2017," katanya ketika ditanya berhubung perkembangan terkini isu kegagalan pelakon Che Ta, 51, dan anak sulungnya, Ammar Effendy, 28, membayar pinjaman itu sejak 2017.
Asyraf Wajdi memberi reaksi itu ketika menghadiri Konvensyen Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Ahad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram