Demi pelanggan setia, harga bahan mentah mahal tak halang bekas eksekutif bank konsisten tawar kek berkualiti


  • Bizz
  • Selasa, 17 Dis 2024

Walaupun menjalankan perniagaan kecil, Norehan tetap memberi fokus pada kualiti dan kepelbagaian produk untuk memenuhi permintaan pelanggan.

NOREHAN Kamaruddin, 47, memulakan perjalanan kerjayanya di sebuah bank sebagai eksekutif selama 13 tahun sebelum membuat keputusan untuk berhenti dan mencari cabaran baharu.

Dalam tempoh itu juga, terdetik di hati usahawan ini untuk menjalankan bisnes pembuatan kek bermula 2003, sebagai usaha mencari pendapatan sampingan.

Akuinya, minat terhadap aktiviti menghasilkan hidangan pemanis mulut muncul selepas ibu bapanya mendaftarkan anak bongsu daripada lima beradik itu mengikuti kelas pembuatan kek dan biskut pada 2001.

BACA LAGI: Dari kecil jarang masuk dapur, bekas juruukur bahan kini miliki 'central kitchen' sendiri bekalkan kek sekitar Lembah Klang

BACA LAGI: 'Usaha tidak khianati hasil', persepsi negatif tak jadi penghalang Faeeza Noor sukses buka butik pakaian, aksesori di Semenyih

WhatsApp Image 2024-12-13 at 21.10.28 (3)

Norehan hanya menjual biskut cip coklat pada 2003 sebagai permulaan bisnes.

"Walaupun ketika itu masih bekerja sepenuh masa dan adakalanya jadual agak padat, saya tetap ambil inisiatif menghadiri kelas pembuatan kek atas dorongan ibu bapa.

"Untuk permulaan saya hanya menjual biskut cip coklat sahaja dan Alhamdulillah ada banyak permintaan,” katanya kepada Majoriti.

Selepas lebih sedekad bertugas dalam sektor perbankan, anak jati Kuala Lumpur ini beralih pula ke bidang penerbitan dan bertugas di sebuah syarikat akhbar selama lapan tahun.

Perubahan besar yang berlaku dalam organisasi syarikat memaksa Norehan untuk mengundur diri daripada jawatannya pada 2018.

Sehinggalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kira-kira empat tahun lalu, keadaan yang memaksa semua individu berada di dalam rumah memberinya peluang untuk fokus sepenuhnya pada pembuatan kek.

WhatsApp Image 2024-12-16 at 12.38.41

Norehan menghasilkan kek benji roll dengan variasi warna seperti hijau, merah dan coklat.

"Ketika PKP saya sudah mula buat bisnes sepenuh masa, dengan memperkenalkan hanya satu produk iaitu kek benji roll dengan variasi warna seperti hijau, merah dan coklat.

"Syarat yang mengehadkan pergerakan orang ramai di luar kawasan rumah menyebabkan sambutan yang diterima terhadap jualan ini amat memberangsangkan.

"Apatah lagi keadaan kek tersebut yang boleh tahan lama jika disimpan di dalam peti sejuk beku," kongsinya yang memiliki pelanggan tetapnya sendiri sejak awal berkecimpung dalam perniagaan tersebut.

Melihat keinginan rakyat Malaysia terhadap hidangan manis terus menjadi trend saban tahun, Norehan kemudian mempelbagaikan jenis kek buatannya.

Kongsi wanita ini, ia termasuk kek tapak kuda, kek marble, cheese tart, carrot cake dan pandan gula melaka.

"Namun semuanya dibuat mengikut tempahan, kita cuba penuhi kemahuan pelanggan," jelasnya.

Jumlah keseluruhan jenis kek yang ditawarkan sentiasa berubah mengikut permintaan, namun pengusaha ini memastikan kesemua produknya dihasilkan dengan bahan berkualiti tinggi selain rasa yang memuaskan.

Untitled design (13)

Kek tapak kuda (kiri) dan kek marble (kanan) antara menu baharu yang diperkenalkan Norehan.

Bahan naik harga

Ditanya antara cabaran ditempuh sepanjang mengendalikan bisnes, Norehan berkata, ketidaktentuan harga bahan mentah, terutamanya coklat dan bahan asas lain yang diperlukan dalam proses pembuatan kek, turut memberi impak kepadanya.

Setiap tahun ujarnya, harga barang boleh meningkat mencecah 20 peratus sehingga memaksa usahawan itu untuk menaikkan sedikit harga jualan bagi menampung kos operasi.

"Sekarang dalam setahun boleh cecah empat hingga lima kali kenaikan harga barang.

"Untuk coklat misalnya, dua setengah kilogram (kg) coklat boleh didapati dengan harga sekitar RM150, tetapi bulan lepas (November) harga dah naik mencecah hingga RM250,” jelasnya yang turut mengambil tempahan kek untuk majlis tertentu.

Untitled design (12)

Semangat untuk memberikan produk terbaik kepada pelanggan sentiasa menjadi keutamaan Norehan.

Pemegang diploma perakaunan dari Binary Business School (BBS) itu turut menyatakan bahawa situasi ini adalah cabaran besar bagi peniaga kecil sepertinya.

Akui Norehan, mahu tidak mahu dia terpaksa menaikkan sedikit harga produk untuk mengekalkan kualiti.

"Walaupun menjalankan perniagaan kecil, fokus saya tetap pada kualiti dan kepelbagaian produk untuk memenuhi permintaan pelanggan, berbanding keuntungan besar.

"Walaupun cabaran ini memerlukan pengusaha untuk terus menyesuaikan diri, semangat untuk bertahan dan memberikan produk terbaik kepada pelanggan menjadi keutamaan saya.

“Hal ini memang mencabar, tapi kena terus fokus pada apa yang kita boleh kawal. Jaga kualiti produk, itu paling penting,” katanya mengakhiri bicara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram