NGIU cap merupakan hidangan tradisional yang sangat terkenal di Sabah.
Nama ngiu cap berasal daripada dialek Hakka, dengan 'ngiu' bermaksud lembu manakala 'cap' merujuk pada bahagian-bahagian lembu seperti daging, organ dalaman dan urat.
Tidak hanya di Sabah, kini masyarakat di Semenanjung Malaysia, warga Lembah Klang khususnya boleh merasai keenakan aroma ngiu cap yang kaya dengan rasa di Pasar Borneo yang beroperasi dekat Seri Kembangan, Selangor.
Mengusahakan sajian itu itu Pasar Borneo sejak penghujung Julai lalu, Jenny Sama memulakan jualan ngiu cap selepas mendapati makanan tersebut kurang dikenali di Semenanjung.
Makanan ini, yang pada asalnya disediakan sebagai hidangan terakhir pada kenduri kahwin atau kematian di Ranau, telah dimodenkan oleh Jenny dengan campuran daging, perut lembu, urat dan bihun.
Menurut wanita berusia 38 tahun itu, ngiu cap merupakan simbol tradisi yang kaya dengan nilai budaya.
“Asalnya, ia hanya menggunakan isi-isi lembu seperti perut dan urat yang dimasak dalam sup, tetapi kami modenkan dengan menambah bihun supaya lebih mesra dengan cita rasa moden,” katanya kepada Majoriti.
Bagi Jenny, kesukaran memperoleh sajian itu dalam versi halal menguatkan lagi semangat keusahawanannya untuk memperkenalkan menu berkenaan.
“Saya mahu masyarakat beragama Islam selesa untuk datang membeli dan merasai keunikan rasa makanan warisan Sabah.
"Jadi sebab itulah saya jual cara terbuka agar semua boleh datang makan tanpa rasa was-was,” ujarnya.
Ngiu cap menggunakan isi-isi lembu seperti perut dan urat yang dimasak dalam sup.
Proses penyediaan panjang
Berkongsi mengenai penyediaan, Jenny yang berasal dari suku kaum Dusun Tinagas Ranau mengakui, proses menyiapkan masakan itu bukan satu kerja mudah, selain memerlukan tempoh masa agak panjang.
Jelas wanita dari Ranau, Sabah itu lagi, setiap bahagian seperti daging, perut dan urat perlu direbus secara berasingan untuk menjaga kualiti rasa.
Proses itu katanya, memakan masa sehingga enam jam untuk setiap bahan.
“Saya mula masak seawal pukul 5 petang dan biasanya selesai sekitar 1 pagi. Kemudian esoknya (Sabtu) barulah kita akan sibuk berjualan di Pasar Borneo,” tambahnya yang turut mengambil tempahan dari rumah.
Walaupun baru beroperasi selama empat bulan di Pasar Borneo, sambutan terhadap jualannya amat memberangsangkan.
“Dalam tempoh sehari, saya boleh jual sehingga 60 bungkus ngiu cap dengan harga antara RM12 hingga RM16 satu bungkus, bergantung kepada permintaan bahan yang diminta oleh pelanggan,” katanya.
Tidak hanya menerima kunjungan penduduk sekitar, ngiu cap hasil tangan Jenny juga berjaya memikat hati pelanggan luar termasuk ada yang datang memandu dari Damansara dan Shah Alam semata-mata untuk membeli makanan itu setelah melihat promosi di Facebook.
Ngiu cap hasil tangan Jenny juga berjaya memikat hati pelanggan di Semenanjung Malaysia.
Jualan merosot
Menurut wanita tersebut, kejayaan yang dikecapi hari ini tidak datang bergolek, malah memerlukan ketabahan dan usaha gigih untuk mengekalkan momentum perniagaan.
Bercerita lanjut, ibu kepada dua cahaya mata itu mengakui, perjalanan perniagaannya turut mempunyai fasa turun naik.
Usaha giatnya memperkenalkan hidangan tradisional Sabah di Semenanjung akhirnya mula meraih perhatian ramai selepas Jenny dijemput ke sebuah rancangan televisyen bual bicara wanita bagi mempromosikan makanannya, pada awal September lalu.
Bagaimanapun langit tidak selalu cerah buat wanita ini apabila jualannya mulai merosot, dari RM1,200 ke hanya RM350 sehari selama dua bulan.
"Entah di mana silapnya saya pun tak pasti. Keadaan itu membuatkan saya rasa sangat down dan hampir putus asa.
“Memang dah timbul rasa nak berhenti berniaga, tapi Alhamdulillah keluarga di kampung banyak beri semangat untuk saya supaya teruskan bisnes,” katanya sambil memberitahu jualannya kembali pulih seperti sedia kala sejak penghujung November lalu.
Melihat kepada sambutan positif tersebut, anak kelapan dari sembilan beradik itu kini memasang impian untuk membuka premis fizikalnya sendiri bagi memudahkan pelanggan menikmati ngiu cap dalam suasana yang lebih kondusif dan selesa.
“Kalau ada rezeki, saya mahu cuba cari kedai yang sesuai untuk mengembangkan bisnes ini kerana saya percaya ngiu cap boleh menjadi simbol kebanggaan Sabah dan mengumpul peminatnya tersendiri di Semenanjung Malaysia,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram