'Termuda dan paling kacak', meski badan berparut, logam melantun ke perut, tukang parang terakhir di Lawas cekal pelihara warisan Sarawak


  • Bizz
  • Khamis, 19 Dis 2024

Zulhi bertekad untuk memastikan seni pembuatan parang tidak luput ditelan zaman. — Facebook/Pustaka Negeri Sarawak

SEPERTI kebanyakan kraf tradisional lain di Malaysia, pembuatan parang secara manual semakin 'terancam' dan hampir pupus.

Namun di Kampung Punang, Lawas, Sarawak, Zulhi Seali, 49, bertekad untuk memastikan seni itu tidak luput ditelan zaman.

"Saya adalah pembuat parang termuda dan paling kacak di kampung ini," selorohnya.

BACA LAGI: 'Tauke tak malu lap meja makan', bekas kontraktor terokai sektor F&B lepas hampir 3 dekad dalam dunia pembinaan

BACA LAGI: Dari kecil diberi upah RM180 sebulan, usahawan dari Johor realisasikan impian buka muzium emas percuma di JB

Zulhi mengakui bahawa tidak ramai anak muda berminat dengan bidang tersebut kerana ia memerlukan kekuatan fizikal, stamina, kesabaran dan tekad yang tinggi.

"Tidak semua orang sanggup melalui proses ini yang memakan masa dan tenaga," katanya.

WhatsApp Image 2024-12-15 at 16.11.49

Zulhi mengakui, tidak semua orang sanggup melalui proses membuat parang yang memakan masa dan tenaga.

Permulaan sebagai tukang parang

Zulhi mula mempelajari seni pembuatan parang pada 2008 daripada seorang pembuat parang veteran di kampungnya.

Walaupun proses pembelajaran mengambil masa beberapa bulan, termasuk mempelajari teknik pembuatan sarung parang dan hiasan, dia bersyukur gurunya sudi berkongsi rahsia ilmu pembuatan parang.

Pada mulanya, Zulhi hanya menghasilkan pisau dapur untuk isterinya, Dayangku Norzainab Awangku Othman, 45, dan sebagai hadiah kepada keluarga.

Namun, lama-kelamaan kemahiran uniknya menarik perhatian penduduk setempat, yang mula memesan parang buatan khas daripadanya.

Melihat potensi perniagaan ini, pada 2012, Zulhi membuat keputusan besar untuk meninggalkan pekerjaan tetapnya sebagai penyelia keselamatan dan menumpukan sepenuh perhatian kepada perniagaan pembuatan parang.

"Saya menerima banyak maklum balas positif daripada pelanggan. Parang buatan saya lebih tahan lama berbanding produk kilang.

"Saya gembira dapat menjadi bos kepada diri sendiri sambil melakukan sesuatu yang saya minati," ujarnya.

Sebelum memulakan kerja, Zulhi akan melakar reka bentuk parang di atas kertas atau kadbod. Proses menempa bilah melibatkan teknik heat and beat (panas dan pukul), yang mana logam dipanaskan pada suhu tinggi sehingga lembut sebelum diketuk, dipotong dan dibentuk.

Segala kerja dilakukan di sebuah ruang kerja sederhana di belakang rumahnya. Walaupun kemudahan yang digunakan tidak moden, ia sudah mencukupi untuk menghasilkan karya kreatif.

Peralatannya termasuk pengisar sudut, kikir logam, tukul, tang dan landasan.

"Seseorang itu tidak memerlukan alat berteknologi tinggi untuk menjadi tukang parang yang hebat. Apa yang penting adalah sikap, semangat dan kemahiran," katanya.

Dia menggunakan spring steel (besi spring) sebagai bahan utama bilah kerana sifatnya yang tahan lentur dan tidak mudah patah.

Untuk pemegang parang, Zulhi memilih kayu tempatan seperti kayu malam dan kayu belian, dengan rekaan yang sering dihias ukiran bunga dan motif etnik Sarawak.

Parang rekaannya, termasuk jenis Bowie, Latin dan Panga, adalah antara produk yang paling laris, dengan harga bermula dari RM20 hingga RM2,000 bergantung kepada saiz dan reka bentuk.

Cabaran dan risiko

Kerjaya sebagai tukang parang tidak terlepas daripada risikonya tersendiri. Zulhi berkata demikian sambil menunjukkan parut di tangan dan badannya, bukti cabaran yang dilalui lelaki itu.

"Baru-baru ini, saya terkena serpihan logam tajam yang melantun ke perut. Nasib baik ia tidak memerlukan jahitan, tetapi mengambil masa beberapa minggu untuk sembuh," kongsinya.

Bunyi mesin pemotong dan percikan api setiap hari juga berpotensi merosakkan pendengaran atau menyebabkan kecederaan serius. Namun, Zulhi menerima cabaran ini dengan hati terbuka.

"Saya gembira menjadi salah seorang tukang parang terakhir di kampung ini dan berharap dapat mengajar seni ini kepada generasi muda.

"Ia adalah warisan tradisional Sarawak yang perlu dipelihara," ungkapnya penuh harapan. — The Star/SHEELA CHANDRAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram