Kisah si kain ajaib, 6 penenun songket tampil angkat 'Dreamweaver' julang warisan seni


  • Bizz
  • Ahad, 22 Dis 2024

'Dreamweaver' menghidupkan kisah penenun songket Sarawak dalam lagu dan drama. – Tanoti Productions

TENUNAN songket adalah seni kain tradisional yang terkenal di Sarawak dan diwarisi turun-temurun lamanya.

Seni itu kini dihidupkan semula melalui lagu dan drama dalam sebuah muzikal baharu yang memulakan tayangannya di Kuching pada Disember.

Dreamweaver, sebuah produksi asli oleh Tanoti Productions dan Balkon Media bertujuan untuk memelihara warisan dan seni tenunan songket serta memperkenalkannya kepada penonton secara lebih meluas.

BACA LAGI: 'Peribadi rendah diri Sultan Ibrahim buat kami tenang', pemilik generasi ke-3 restoran asam pedas Lee besar hati kerabat diraja jadi pelanggan setia

BACA LAGI: Satu kampung pernah 'down' sebab harga rendah, wanita Kota Belud susun strategi jana pendapatan komuniti dengan serbuk koko

'Dreamweaver' executive producer Datuk Jacqueline Fong. - ZULAZHAR SHEBLEE/The Star

Fong berkata, kain ajaib itu adalah kain songket yang ditenun khas oleh penenun Tanoti untuk muzikal itu.

“Muzikal ini akan menarik minat penonton berbeza dan bukan hanya mereka yang sudah menghargai produk tenunan.

"Ia juga akan menarik penonton teater,” kata Penerbit Eksekutif, Datuk Jacqueline Fong.

Difahamkan seramai enam penenun songket dari Tanoti, sebuah perusahaan sosial wanita Sarawak akan membintangi muzikal itu membolehkan mereka menonjolkan identiti dan suara bakat tersendiri.

“Dengan menampilkan penenun kami di atas pentas, mereka dapat menceritakan kisah mereka sendiri dan menjadi pembela kepada seni mereka,” tambah Fong.

Pengarah, Ambrose Eng berkata, Dreamweaver mengisahkan Aaliya, pemilik bengkel tenunan yang menghadapi pilihan untuk meneruskan seni tenunan atau menjual perniagaan miliknya demi keuntungan.

Antagonisnya adalah seorang pedagang yang ingin membeli perniagaannya dan menguasai reka bentuk serta teknik tenunan dengan niat untuk mengurangkan nilai seni dan warisan tersebut.

“Cerita ini mengikuti perjalanan Aaliya yang bergelut dengan konflik antara memilih tradisi atau keuntungan dan kemodenan.

“Dia mendapat sokongan daripada suara nenek moyang yang konon diwujudkan menerusi kain ajaib, yang juga merupakan salah satu watak dalam muzikal ini,” jelas Eng.

Dreamweaver menampilkan skrip dan lagu asli dalam bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia yang dibawakan oleh dua pelakon utama dan enam penenun dalam 20 persembahan di Kuching.

“Kebanyakan cerita disampaikan melalui lagu. Jika anda mendengar liriknya, ia sebenarnya adalah perjalanan plot yang bergerak ke hadapan disesuaikan dengan koreografi dan visual,” tambah Eng.

Menurut Fong, bintang sebenar dalam Dreamweaver adalah kain ajaib yang mewakili nenek moyang Aaliya.

Kain itu merupakan sehelai songket yang ditenun khas oleh penenun Tanoti untuk muzikal tersebut.

“Kain ajaib adalah entiti yang memastikan kelangsungan seni tenunan songket dalam muzikal ini,” kata Fong.

‘Dreamweaver’ brings the story of Sarawak’s songket weavers to life in song and drama. – ­Photo courtesy of Tanoti Productions

Antara barisan pelakon yang dilihat sedang berlatih untuk muzikal berkenaan.

Eng juga menambah bahawa seorang pelakon akan membawa watak kain tersebut secara bersembunyi di belakangnya untuk menunjukkan pergerakan kain tersebut secara manusiawi.

“Jadi, anda akan melihat kain tersebut bergerak, menari dan kononnya memberi isyarat ‘ya’ atau ‘tidak’,” katanya.

Hasmah Yamin, salah seorang daripada enam penenun songket yang terlibat dalam Dreamweaver berkata, berlakon dalam muzikal adalah pengalaman baru yang menarik baginya.

“Kami banyak belajar daripada Ambrose tentang cara untuk menghayati watak kami.

"Ia membuatkan saya gembira tetapi kadangkala juga sedikit sedih kerana melalui pengalaman watak tersebut.

"Cerita ini menunjukkan bahawa apa yang kami lakukan adalah berharga dan ia mengajarkan bagaimana cara menenun dan menghargai seni kami,” kata Hasmah.

Hasmah berharap agar penonton akan belajar menghargai tenunan songket supaya ia tidak akan pupus atau dilupakan.

“Bagi kami sebagai penenun, kami sudah mempunyai pengalaman membuat songket, jadi adalah lebih penting bagi kami untuk memastikan seni ini terus hidup,” katanya.

Dreamweaver dipersembahkan di Auditorium Old Courthouse, Kuching pada 11 Disember dan akan berlangsung lima kali seminggu selama empat minggu sehingga 5 Januari 2025. — The Star/SHARON LING

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram