SEORANG warga emas dilaporkan meninggal dunia selepas kereta Nissan Almera yang dipandunya dirempuh oleh sebuah kereta jenis Toyota Vios ketika cuba memasuki simpang di Kilometer 56.5, Jalan Batu Pahat – Mersing, Kluang, Johor pada pagi Rabu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Superintenden Nik Mohd Azmi Hussin berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian yang berlaku sekitar pukul 9 pagi itu.
Menurutnya, mangsa yang dikenali Lau Yuen Heng, 78, dirempuh pemandu Toyota Vios berumur 34 tahun yang mengalami cedera ringan dan kini menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.
Menurut siasatan, mangsa dalam perjalanan dari Kluang menuju Taman Megah manakala pemandu Toyota Vios pula bergerak dari Batu 3 ke Bandar Kluang.
Katanya, mangsa didakwa secara tiba-tiba memasuki simpang kanan ke Taman Megah menyebabkan pemandu Toyota Vios yang datang dari arah bertentangan gagal mengelak atau memberhentikan kenderaan lalu menyebabkan perlanggaran di bahagian kiri kereta mangsa.
“Ketika sampai di lokasi kejadian, warga emas berkenaan dikatakan secara tiba-tiba memasuki simpang kanan menghala ke Taman Megah," katanya.
Difahamkan, pemandu Toyota Vios yang juga seorang guru sekolah daripada Batu 3 ke Bandar Kluang itu datang daripada arah hadapan tidak sempat mengelak serta memberhentikan kenderaannya sebelum berlaku perlanggaran di bahagian tepi sebelah kiri.
Mayat mangsa telah dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat, dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram