WeAssist sedia peluang pekerjaan buat pekerja perubatan di Malaysia, lebih 30,000 permohonan sudah dihantar


  • Bizz
  • Jumaat, 20 Dis 2024

Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama WeAssist, Tiffany Khoo (gambar kiri).

PENJAGAAN kesihatan berkualiti kini merupakan keperluan sejagat, terutamanya di negara yang populasi penduduknya yang berusia semakin meningkat.

Bagaimanapun, tugas menguruskan kemudahan penjagaan kesihatan selama 24 jam bukanlah satu tugas yang mudah.

Ia meliputi keperluan mengatur pekerja kesihatan sambilan dan sepenuh masa diletakkan pada giliran dan jadual yang berbeza.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Bagi menangani perkara tersebut, WeAssist menerusi platformnya Locum Apps, tampil menyediakan perkhidmatan menghubungkan hospital dan klinik dengan profesional perubatan berlesen untuk kerja syif sementara.

"Hospital harus memberi tumpuan kepada penjagaan pesakit, bukannya terganggu dengan menangani perkara yang tidak sepatutnya menjadi masalah seperti tenaga kerja," kata Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama WeAssist, Tiffany Khoo.

Matlamat WeAssist, katanya, adalah untuk menghubungkan orang ramai kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan dengan cara yang selamat, mudah dan pantas.

3031688

WeAssist menerima lebih 30,000 permohonan kakitangan, dan membayar sejumlah RM16 juta kepada pekerja penjagaan kesihatan. — Gambar hiasan

Menggunakan aplikasi itu, kemudahan penjagaan kesihatan boleh membuat iklan pekerjaan berdasarkan keperluan khusus.

Platform tersebut kemudiannya menilai dan mengecilkan kumpulan calon yang dimiliki kepada mereka yang layak.

Ini dilakukan dengan bantuan fungsi kelayakan set kemahiran unik Locum Apps, yang memeriksa dan menyusun pekerja ke dalam kategori berbeza berdasarkan kelayakan mereka.

"Kebanyakan orang berfikir, 'jururawat adalah jururawat'. Tetapi dari perspektif klinikal, anda tidak boleh menghantar jururawat dewan pembedahan ke ICU (unit rawatan rapi), dan anda tidak boleh menghantar jururawat A&E (kemalangan dan kecemasan) ke wad, kerana mereka tidak tahu apa yang perlu dilakukan,” ujarnya.

Dengan menapis pekerjaan yang tidak berkaitan dengan calon dan sebaliknya, proses pemadanan kerja diperkemas untuk kakitangan dan kemudahan penjagaan kesihatan.

Khoo menambah bahawa sistem saringan aplikasi itu membantu menyelesaikan masalah utama iaitu mencari kakitangan diketahui boleh dipercayai.

Platform terbabit juga direka bentuk supaya maklum balas atau aduan daripada kemudahan penjagaan kesihatan berbeza tentang pekerja disatukan dan kelihatan pada aplikasi bagi menghasilkan standard penjagaan lebih baik.

Dementia therapy in playful way. Group of senior elder people stay at nursing home, enjoy activityrelation playing Jenga or tumbling tower wood block game. Training fingers and fine skills

Dengan menapis pekerjaan yang tidak berkaitan dengan calon dan sebaliknya, proses pemadanan kerja diperkemas untuk kakitangan dan kemudahan penjagaan kesihatan. — Gambar hiasan

“Kami juga mempunyai proses tatatertib dalaman sendiri, yang melibatkan penggantungan dan senarai hitam. Ini membantu kami mengekalkan kualiti kumpulan bakat yang kami ada,” tambahnya.

Kini, syarikat itu mempunyai 52 hospital dan klinik serta menguruskan lebih 500,000 jam pekerjaan.

Ia juga telah menerima lebih 30,000 permohonan kakitangan, dan membayar sejumlah RM16 juta kepada pekerja penjagaan kesihatan.

Khoo berkongsi bahawa sejak ia dilancarkan pada 2020, aplikasi itu telah melalui pelbagai penambahbaikan dan perubahan untuk memenuhi keperluan pelanggannya dengan lebih baik.

"Lebih banyak pesaing muncul selepas kami melancarkan aplikasi ini, tetapi apa yang memberi kelebihan kepada kami ialah sementara yang lain cuba menyelesaikan masalah itu dari sudut pandangan profesional penjagaan kesihatan, kami juga melihatnya dari pihak hospital.

"Saya sengaja membina hubungan dengan orang di hospital dan mendapatkan input mereka tentang ciri baharu yang akan kami lancarkan," ujarnya.

Awal tahun ini, perniagaan itu telah merombak aplikasinya dengan menyediakan kemudahan penjagaan kesihatan dan kakitangan secara berasingan, sekali gus menjadi aplikasi tunggal berbanding dua platform berasingan sebelum ini yang memenuhi fasiliti kesihatan serta staf.

"Kami menyedari bahawa beberapa pekerja hospital yang mengiklankan pekerjaan juga mahu menggunakan aplikasi untuk mencari kerja.

"Tidak masuk akal untuk mengasingkan kedua-duanya. Jadi kami melancarkan semula aplikasi baharu yang menggabungkan segala-galanya," ujarnya.

Selain Locum Apps, syarikat itu juga telah membangunkan papan kerja untuk profesional penjagaan kesihatan bekerja sepenuh masa, yang akan dilancarkan secara rasmi pada tahun depan.

Bagaimanapun, usaha WeAssist untuk berinovasi dalam penjagaan kesihatan tidak terhenti pada penyelesaian di pihak kakitangan.

Syarikat itu berkembang termasuk menerusi cabang pemasaran digitalnya yang menyediakan perkhidmatan seperti penciptaan laman web, reka bentuk grafik, pengeluaran video dan pengurusan media sosial.

Sementara itu, penerbitan kandungan cetak dan digitalnya, Health Expert menampilkan pandangan perubatan tentang pelbagai topik kesihatan yang disampaikan rakan kongsi hospital dan kliniknya.

"Kami mendapati bahawa satu-satunya tempat orang masih membaca cetakan tradisional ialah di hospital dan bilik menunggu," kata Khoo.

Ribuan salinan percuma diedarkan ke hospital, dan kemudiannya boleh diserahkan kepada kakitangan dan pesakit mereka.

“Kami melihatnya sebagai tempat yang strategik untuk mempunyai iklan kami sendiri, dan hospital untuk berkongsi apa yang mereka lakukan. Ia juga menyediakan satu lagi sumber pendapatan untuk kami,” katanya.

Walaupun menjalankan fungsi yang berbeza, Khoo menyatakan bahawa kesemua perkhidmatan WeAssist, daripada Locum Apps kepada Health Expert dan Web Assist diselaraskan dalam misi bersepadu yang sama.

"Matlamat utama kami adalah untuk mewujudkan ekosistem yang boleh membantu hospital dan kemudahan penjagaan kesihatan berkembang," ujarnya.

Nurses cutting a cake as they celebrate the 'International Nurses Day' at a ward of Kuala Lumpur.General Hospital.The Nurse Day is celebrated around the world every May 12,,the anniversary of Florence Nightingale's birtH. AZHAR MAHFOF/The Star(12/5/2020)

WeAssist kini bekerjasama dengan 52 hospital dan klinik serta menguruskan lebih 500,000 jam pekerjaan. — Gambar hiasan

Dalam pada itu, Khoo berkongsi bahawa terdapat rancangan untuk membawa penyelesaiannya ke lebih banyak pasaran tempatan dan antarabangsa.

Pada masa ini, pasukannya sedang berusaha mengembangkannya ke bandar-bandar lain di Malaysia.

"Kami sudah mula membuat kemajuan dengan hospital di Pulau Pinang dan Johor," dedahnya.

Pada tahun ini juga, WeAssist dinobatkan sebagai pemenang kebangsaan Malaysia di Anugerah Sidang Kemuncak Dunia dalam kategori Penempatan Pintar & Pembandaran.

"Ia menunjukkan bahawa kami mempunyai keupayaan menyampaikan penyelesaian yang berkesan untuk menangani masalah berlaku bandar.

“Dengan ramai orang berpindah ke bandar, terdapat lebih banyak permintaan untuk penjagaan klinikal, dan bekalan tidak mencukupi.

"Dengan mewujudkan cara untuk kakitangan penjagaan kesihatan mempunyai kerja yang lebih fleksibel, kami dapat membantu membawa kesinambungan penjagaan, yang merupakan penyelesaian yang diperlukan setiap bandar," ujarnya. — The Star/NICOLE CHEW

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram