Bijak manfaat ruang terbiar, bagaimana Times24 urus tempat letak kereta di Malaysia


  • Bizz
  • Selasa, 17 Dis 2024

Times24 mempunyai kepakaran mereka bentuk, membangun dan mengurus kemudahan tempat letak kereta.

IA merupakan satu kisah yang sudah menjadi kelaziman di Malaysia untuk warga kota mengalami kesesakan lalu lintas dengan banyak masa dihabiskan untuk memandu bagi mencari tempat letak kereta.

Situasi itu seterusnya menyumbangkan lagi kepada kesesakan lalu lintas.

Pastinya, bagi biasa mengalaminya, ia merupakan satu pengalaman yang kurang enak.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Bagaimanapun, syarikat pengurusan tempat letak kereta utama negara, Times24 Malaysia Sdn Bhd mempunyai cara untuk mengatasinya.

Memiliki pengkhususan dalam perkhidmatan menyeluruh pengurusan tempat letak kereta, Times24 mempunyai kepakaran mereka bentuk, membangun dan mengurus kemudahan tempat letak kereta dengan menggunakan teknologi canggih dan analitik data untuk mengoptimumkan tempat letak kereta dan memperkemas aliran trafik.

Ong Yeong Wee, Co-CEO and Chief Commercial Officer of Times24 Malaysia Sdn Bhd. - Photos: Times24

Ketua Pegawai Eksekutif bersama dan Ketua Pegawai Komersial Times24, Ong Yeong Wee.

“Objektif kami adalah untuk mengubah ruang yang kurang digunakan kepada aset berharga bagi pemilik hartanah sambil meningkatkan kebolehcapaian dan kemudahan orang ramai,” kata Ketua Pegawai Eksekutif bersama dan Ketua Pegawai Komersial Times24, Ong Yeong Wee.

Ditubuhkan pada 1994, syarikat itu bekerjasama dengan sekurang-kurangnya 100 rakan kongsi perniagaan dan menguruskan lebih 160 tempat letak kereta di seluruh Malaysia.

Ia juga merupakan ahli PARK24 Group yang berpangkalan di Jepun, iaitu sebuah gabungan yang menurut Yeong Wee membantu memastikan perniagaan itu terus mengekalkan piawaian industri tertinggi.

“Sebagai sebahagian daripada PARK24 Group, kami mempunyai banyak pengalaman dan kepakaran daripada salah satu pengendali pengurusan tempat letak kereta terbesar di Jepun,” katanya.

Pengetahuan dimilik itu turut dibuktikan melalui pendekatan yang teliti dan komprehensif dalam mengubah banyak tempat untuk dijadikan sebagai ruang letak kereta di bawah kendalian Times24.

"Ia bermula dengan penilaian awal tapak, termasuk kajian kebolehlaksanaan dan analisis trafik untuk menilai faktor seperti lokasi, kebolehcapaian, potensi peningkatan aliran trafik dan kesan alam sekitar," katanya.

Satu lagi langkah penting dalam peringkat awal ialah melibatkan pihak berkepentingan seperti pemaju dan pemilik tanah untuk membincangkan potensi manfaat dan pulangan penyelesaian parkir yang dicadangkan.

Selepas itu, pasukan Times24 akan menyusun susun atur tempat letak kereta terbabit agar disesuaikan khusus dengan keperluan lokasinya.

17404922

Ditubuhkan pada 1994, Times24 bekerjasama dengan sekurang-kurangnya 100 rakan kongsi perniagaan dan menguruskan lebih 160 tempat letak kereta di seluruh Malaysia. — Gambar hiasan

Semasa pembinaan, keutamaan diletakkan pada peraturan keselamatan dan alam sekitar.

“Terdapat juga tumpuan untuk mewujudkan kemudahan yang berfungsi dan memenuhi aspek daripada segi estetika. Fasa ini mempertimbangkan aspek penting seperti pencahayaan, papan tanda dan kebolehcapaian,” tambah Yeong Wee.

Setelah menyelesaikan pembinaan tempat letak kereta, Times24 lazimnya akan mengambil alih pengurusan kemudahan terbabit.

Ini termasuk menyelia operasi harian, penyelenggaraan dan perkhidmatan pelanggan.

Sistem pengurusan yang dilaksanakan meliputi sokongan pelanggan 24/7, kawalan akses automatik dan perkhidmatan penyelenggaraan biasa.

"Kami juga mengendalikan semua aspek jualan dan pemasaran untuk memaksimumkan keuntungan tapak letak kereta," ujarnya.

Sifat berstruktur proses itu, katanya, membolehkan Times24 menawarkan pengalaman yang lancar untuk pengguna sambil memaksimumkan pulangan hasil untuk pemilik hartanah.

Menurut Yeong Wee, faktor seperti lokasi, keselamatan, kemudahan dan kos adalah amat penting kepada pengguna dan pemilik tanah apabila memilih kemudahan tempat letak kereta.

“Pengguna lebih suka tempat letak kereta yang berada di lokasi baik, selamat dan mudah diakses dengan harga berpatutan. Pemilik tanah pula mencari pengurusan cekap dan potensi penjanaan hasil," katanya.

Untuk memenuhi keperluan dua pihak berkepentingan itu, Times24 menawarkan kemudahan terletak di lokasi strategik dengan ciri keselamatan mantap, harga kompetitif dan penyelesaian pengurusan menjurus ke arah meningkatkan pengalaman pengguna dan nilai hartanah.

Untuk memenuhi keperluan pengguna semakin berkembang, Times24 turut mengintegrasikan teknologi dalam operasinya.

Sebagai contoh, kini semakin banyak tempat letak keretanya menampilkan sistem tanpa tunai dan teknologi Pengecaman Plat Lesen (LPR) yang membolehkan pengalaman tempat letak kereta lebih lancar dan mengurangkan keperluan infrastruktur fizikal seperti mesin tiket dan pembayaran.

“LPR semakin popular di Malaysia, meningkatkan kecekapan dan kemudahan pengurusan tempat letak kereta. Tinjauan kami di Malaysia menunjukkan bahawa lebih 60 peratus pengguna lebih suka tanpa tunai dengan kira-kira 70 peratus tempat letak kereta kami sudah menyepadukannya.

“Ini bukan sahaja mengurangkan penggunaan sumber tetapi juga menyumbang kepada pengalaman tempat letak kereta lebih cekap dan lestari.

"Selain itu, kami menyokong penggunaan kenderaan elektrik dengan menyediakan stesen pengecasan,” katanya.

Antara projek berjaya diusahakan Times24 adalah projek di Taman Desa Business Park di Kuala Lumpur, Lebuh Noordin di Pulau Pinang dan Jalan Jubilee di Ipoh.

“Dengan menukar kawasan yang kurang digunakan kepada kemudahan tempat letak kereta yang canggih, kami telah mengurangkan kesesakan lalu lintas dengan ketara dan menyediakan penyelesaian tempat letak kereta mudah untuk perniagaan dan penduduk tempatan,” jelas beliau.

Menyentuh mengenai peningkatan kadar pemilikan kenderaan, pengembangan demografi di kawasan bandar, dan peningkatan dalam pembangunan komersial dan kediaman, Yeong Wee berkata, pasaran untuk kawasan letak kereta di Malaysia bersedia untuk pertumbuhan ketara dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

“Ketersediaan kira-kira 20 peratus tanah yang tidak digunakan di wilayah seperti Lembah Klang memberikan peluang untuk pembangunan kemudahan tempat letak kereta baharu,” katanya.

Man Holding Power Charging Cable For Electric Car In Outdoor Car Park. And he’s going to connect the car to the charging station in the parking lot near the shopping center.

Tempat letak kereta Times24 turut menyediakan penggunaan kenderaan elektrik dengan menyediakan stesen pengecasan. — Gambar hiasan

Untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai penyedia pengurusan tempat letak kereta terkemuka, Times24 kini memberi tumpuan untuk meningkatkan kehadirannya di kawasan bandar utama melalui tapak letak kereta baharu.

“Bilangan lot terurus terus berkembang apabila kami mengenal pasti peluang baharu.

“Kami berhasrat untuk memanfaatkan pengalaman dan pengetahuan pasaran kami untuk menyasarkan lokasi permintaan tinggi, memastikan penyelesaian tempat letak kereta yang mudah dan boleh diakses untuk pelanggan kami.”

“Kami juga komited untuk membangunkan dan menggunakan teknologi pengurusan tempat letak kereta yang inovatif.

"Inisiatif kemapanan kami adalah bidang tumpuan utama, kerana kami berhasrat untuk meningkatkan amalan mesra alam dalam kemudahan kami," ujar Yeong Wee. — The Star/NICOLE CHEW

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram